Jumaat, 18 September 2009

Perutusan YDP Sempena Menyambut Pemergian Ramadhan dan Ketibaan Aidil Fitri

YDP JIM SPT Cikgu Rusli Hashim dua dari kanan bersama YDP JIM PP Ir Hj Jamaluddin dan AJK JIM Negeri menyambut Hari Raya Dengan Baraan Syawal JIM Negeri Pulau Pinang.
Alhamdulillahi Rabbil Alaamin. Selawat dan salam atas junjungan Besar s.a.w., ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekaliannya.

Ikhwah dan akhawat sekalian. Bersyukur kepada Ilahi atas limpah rahmatNya kita telah menikmati curahan berkat dan rahmat sepanjang sebulan Ramadhan. Sudah pasti ikhwah dan akhawat sekalian sedang istabiqul khairaat di 10 malam terakhir ini. Samada Lailatul Qadr telah datang atau tidak, yang penting kita terus menghambakan diri kita bukan sahaja di akhir-akhir Ramadhan, malahan hari-hari yang mendatang. Kerana kita bukan `Ibaadur Ramadhan tetapi `Ibaadur Rahmaan.

Mudah-mudahan tarbiah Ramadhan kali ini melonjakkan iman dan taqwa kita yang kita terjemahkan dengan; 1) amal-amal soleh di medan pemantauan MAFREL dan kempen PRK Permatang Pasir. 2) Kita imarahkan Ramadhan dan iktikaf di surau dan masjid setiap malam. 3) Meng'ihya'kan Ramadhan bersama keluarga di rumah, kurang menonton TV, banyak membaca Quran. 4) Insaf dengan keperitan orang Islam yang miskin melalui program sumbangan wang ringgit kepada masyarakat 5) Mengorbankan perbelanjaan raya untuk di infaqkan kepada sahabat-sahabat ahli jamaah kita yang ditimpa musibah 6) Menyerlahkan akhlaq murni dan dakwah di medan sosio-politik mutakhir ini bersama parti-parti politik dan NGO-NGO Islam Pulau Pinang.

Jangan dilupai ziarahilah ulama-ulama semoga keberkatannya boleh kita tumpang bersama.

Mudah-mudahan amal-amal ini melepasi malaikat yang menjaga langit ke tujuh iaitu hanya amal-amal yang ikhlas sahaja yang diterima oleh Allah taala. Sudah pasti kita menyesal kerana amal-amal ini dirasakan patut boleh buat lebih lagi dan berkualiti lagi.

Ikhawah dan akhawat yang dikasihi. Sudah tentu banyak perancangan dibuat sempena menyambut Hari Raya. Di akhir Ramadhan ini, saya berpesan kepada diri saya dan ikhwah akhawat supaya bangun malam pada malam 1 Syawal. Mohonlah agar Allah beri hidayah untuk kita besatu kembali, kekuatan 'izzah dan fizikal untuk terus istiqamah dalam perjuangan. Berterusan taqwa kita dan semakin rapat kita dengan al Quran.

Awasi anak-anak, jangan terlampau membudayakan perkara-perkara yang sia-sia.

Bagi ikhwah sekeluarga yang akan pulang ke kampung, berhati-hati di jalan raya. Kadang-kadang kita mengamalkan memandu berhemah (defensive driving) , tetapi kecuaian pengguna lain inilah yang mengancam kita. Pastikan kita bukan ancaman di jalanraya dan tidak menjadi statistik kemalangan jalanraya tahun ini.

Berpada-pada dengan budaya hedonisme semasa menyambut hari lebaran. Banyakkan kunjung mengunjungi, yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan. Ambil peluang tingkatkan PR dengan masyarakat. Sambil menikmati juadah hari raya berjaga-jagalah terutama yang ada rekod kesihatan yang tidak ceria. Jangan lupa kalau ada rumah terbuka jemput-jemputlah sahabatsahabat. Kalau tak banyak, jamuan sederhana pun sahabat-sahabat tak kisah.

Akhir sekali, sebagai YDP saya memohon ampun dan maaf atas kekasaran saya berbahasa, kelalaian dalam hal ehwal kebajikan sahabat, ketidakhadiran saya ke program dan ke'bisu'an saya dalam hal-hal yang remeh.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Taqobballahu minna wa minkum. Taqobbal ya kareem.

Ikhlas dari : Ij Hj Jamaluddin Abdullah

Syawal 1430

Isnin, 7 September 2009

Iftar Bersama Ulama' Anjuran STAIL & SMART

JIM SPT bersama adik-adik JMTI turut serta meraikan Majlis Iftar bersama ulama anjuran STAIL dan SMART.

6 September 2009 Majlis Iftar Perdana Bersama Ulama, bertempat di Dewan Besar Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang: "Usaha guru yang tekun, sokongan ibu-bapa, PIBG yang padu dan berterusan, ikhlas semua pihak, adalah pra-syarat 'kejayaan' sesebuah sekolah swasta di arus pembangunan masa kini. Hasilnya berbaloi apabila melihat anak-anak didik sekolah-sekolah ini menjadi hufaz al-quran, pensyarah, dan pelbagai bidang profesional yang lain. Terasa penat lelah selama ini terbalas."

Ustaz Alias Osman seorang tokoh ulama JIM sedikit berusia tetapi tetap gigih menyampaikan Tazkirah Perdana. Terlibat aktif sejak penubuhan JIM dan rangkaian sekolah-sekolah JIM.

Itulah ungkapan seorang pejuang pendidikan seumur hayat, Ust Alias Osman, penasihat penubuhan rangkaian sekolah-sekolah Islam swasta Al-Amin/Al-Hira' di Majlis Berbuka Puasa anjuran Sek Tahfiz Al-Islah, Tok Bedu, Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

Wanita JIM SPT juga tidak ketinggalan memberi sokongan kepada majlis ini. Di bulan Ramadhan Al Mubarak kena banyak infaq dan sedekah.

Pemanduan falsafah dan kurikulum pendidikan di peringkat awal adalah paling utama untuk mempastikan objektif pendidikan melahirkan insan pemimpin dakwah, islah dan gerakan Islam dalam membawa risalah dan syariah Islam dari Tuhan untuk manfaat seluruh manusia dan alam. Urusan pengoperasian lainnya akan terarah pada falsafah yang diwujud dan disepakati.Cabaran tetap ada seperti guru-guru yang meninggalkan sekolah setelah sekian lama berkhidmat dengan sekolah, prasarana yang dhaif di peringkat awal. Semua ini diharungi dengan tabah dan tawakal kepada Allah.

Kejayaan demi kejayaan dicapai masa kini. Sekolah rangkaian yang mampu meraih pelbagai kejayaan seperti menjuarai debat Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu peringkat kebangsaan, anak-anak yang bijak dalam pertandingan "Spell-It-Right" dan sebagainya.

Keluarga peguam Harryzan Yaacob dan Ustazah Saliza bergaya dengan pakaian seragam mereka. Tuan Hj Atan agak ingin bertanya, "Baju Raya ka Zan, hampa beli kat mana?"

Apapun faktor kejayaan dan kecemerlangan institusi pendidikan adalah kekuatan guru-muallim- muallimah disokong dan dibantu kuat oleh pengurusan pentadbiran lembaga dan pibg. Tidak ada jalan pintas. "Rule of Thumb" adalah mana-mana sekolah yang merosot prestasinya adalah disebabkan faktor-faktor di atas yang menurun.

Dilaporkan oleh:
Hj Mohd Rashid Hasnor

Selasa, 1 September 2009

Isu Kartika

Wanita telah maju ke hadapan dan bukan lagi terpinggir di dapur semata-mata. Gambar di atas adalah salah satu slot Seminar Menanggani Isu Wanita Islam 2009 yang dianjurkan olej WJIM Pulau Pinang.

Wanita Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)28 Ogos 2009 ( 8 Ramadhan 1430H)

ISU KARTIKA
- Tangani dengan objektif dan rasional Di awal bulan mulia Ramadhan dan di ambang sambutan ulangtahun kemerdekaan yang ke-52, Malaysia digemparkan dengan isu pelaksanaan hukuman sebat ke atas seorang ibu berusia 32 tahun, Kartika Sari Dewi Shukarnor yang didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah Pahang meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang. Pelbagai pihak memberikan maklumbalas yang berbeza, sementara media dalam dan luar negara pula menggembar-gemburkan isu ini hingga ianya menjadi satu polemik yang sensasi. Menurut perkembangan terkini, hukuman tersebut dikatakan akan disemak semula oleh pihak Mahkamah Syariah Pahang, atas desakan dan tekanan yang diterima.

Wanita JIM berpandangan perlunya isu ini dilihat dan dinilai dengan penuh objektif dan rasional, tidak semata-mata penuh emosi dan sensasi. Beberapa persoalan penting yang timbul berikutan polemik ini memerlukan jawapan tepat dan tindakan segera agar isu ini dapat selesai dengan cara terbaik, tanpa menggadaikan kredibiliti dan mengaibkan sesiapapun, khususnya institusi kehakiman syariah yang memayungi kehidupan umat Islam di Malaysia selama ini, juga tidak Kartika Sari Dewi dan keluarganya.

Dr Lilis bertudung cerah bersama sebagai panel membincangkan isu-isuWanita dan Syariah.

Isu hukuman sebat Kartika menimbulkan banyak persoalan, antaranya :

1. Sejauhmanakah sebenarnya tahap kesungguhan dan kesediaan umat Islam di Malaysia , struktur sistem pentadbiran dan kepimpinan negara yang ditunjangi oleh orang Islam dalam mempraktikkan ajaran Islam yang syumul dan menjanjikan kesejahteraan yang hakiki? Apabila mahkamah syariah di sebuah negeri menghukum dengan peruntukan enakmen yang diluluskan melalui prosedur yang betul, mengapa begitu ramai yang mempersoalkan keadilan dan kebijaksanaan keputusan tersebut? Bukankah itu boleh dianggap sebagai menghina mahkamah? Bagaimanakah pula caranya kejahilan dan kekeliruan umat Islam ini boleh diatasi – sehingga dibimbangi akidah dan keyakinan mereka begitu mudah terhakis dan tergugat, mengambil pendirian lebih berdasarkan emosi dan bukan berasaskan fakta dan sumber ilmu yang sahih?

2. Bagaimanakah boleh terjadi ketidakseragaman sistem, di mana apabila hukuman telah dijatuhkan oleh pihak penghakiman berdasarkan bukti dan hujah pihak pendakwaan, pihak pelaksana pula yang belum bersedia untuk melaksanakan hukuman tersebut kepada sipesalah? Di manakah silap dan salahnya, sehingga jelas sungguh ketempangan dan kekurangan yang ada dalam sistem kehakiman syariah di negara ini? Sampai bilakah harus berlaku perkara yang boleh memalukan institusi Islam khususnya dan umat Islam amnya?

3. Sampai bilakah agaknya, umat Islam di Malaysia terhalang dari menjalani kehidupan beragama sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Berapa ramai lagi orang Islam yang ikhlas dan insaf serta rela diadili dan menerima hukuman yang ditetapkan oleh kehakiman Islam tidak terbela dan dihalang dari melaksanakan ajaran agama mereka, sebagaimana juga Kartika Sari Dewi? Bagaimana pula dengan golongan yang menggelar diri mereka Muslim, namun terang-terangan tidak langsung menghormati ketetapan agama, malahan sentiasa pula mencemuh, memperlekeh dan mempersendakan Islam itu sendiri?

Wanita JIM menuntut jawapan yang tegas dan tindakan susulan yang segera bagi semua soalan-soalan di atas. Selagi mana tiada usaha merungkai persoalan asas tersebut, umat Islam di Malaysia akan terus menerus diselubungi kemelut kekeliruan dan kejahilan yang semakin menebal dan merugikan.

Walaupun besar peranan mereka di dalam masyarakat namun kebajikan anak-anak tetap menjadi agendam mereka.

Wanita JIM mendesak agar semua pihak yang `menangguk di air keruh’, menggunakan kemelut isu hukuman sebat Kartika ini sebagai satu lagi `bukti’ ketidakadilan syariah Islam yang dianggap sentiasa menindas wanita, memberhentikan segera tindakan tersebut. Dalam masa yang sama, Wanita JIM menuntut sepenuh komitmen dan kebijaksanaan yang sewajarnya dari pihak kehakiman syariah di Malaysia agar segera melipatgandakan usaha meningkatkan kredibiliti institusi tersebut demi menjaga maruah dan nama baik Islam di mata masyarakat Malaysia dan antarabangsa.

Untuk Kartika Sari Dewi dan keluarganya, Wanita JIM mendoakan agar Allah SWT terus memberikan kekuatan dan sokongan untuk beliau menghayati kehidupan Islam yang sejahtera. Segala kesilapan dan dosa yang lalu, biarlah kekal menjadi sempadan dan peringatan

Semoga kemelut isu Kartika juga menjadi `pembuka mata’ kepada kita semua, betapa perlunya umat Islam di negara ini kembali kepada akidah yang sahih, penghayatan ilmu yang mantap dan keazaman yang tinggi dalam mempraktikkan Islam dalam kehidupan.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Ketua Wanita PusatPertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)