Ahad, 23 Mei 2010

TARIK BALIK LESEN PERJUDIAN BOLASEPAK PIALA DUNIA

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Pulau Pinang
14 hb Mei 2010 Add Video

Tarik Balik Lesen Perjudian Bolasepak Piala Dunia

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Negeri Pulau Pinang merasa kesal dengan tindakan Kementerian Kewangan yang memberikan konsesi berbillion ringgit kepada Kumpulan Berjaya Corporation untuk mengendalikan pertaruhan judi bolasepak Piala Dunia yang akan berlangsung pada Jun 2010 ini.
Hj Mohammad Taufek Bin Hj Abdul Rahman Yang Dipertua JIM Pulau Pinang.

Amalan perjudian ala globalisasi ini amatlah tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara. Memberi lesen untuk menghalalkan judi adalah satu kesilapan besar kerana hukum Islam sendiri dengan tegas mengatakan judi itu adalah haram.

Matlamat untuk mengutip cukai hasil daripada keuntungan judi pertaruhan ini , tidak boleh menghalalkan cara dengan memberikan permit atau lesen. Sejak sekian lama golongan yang terlibat dengan perjudian terutama Tauke dan 'kaki judi' dipandang negatif oleh masyarakat bukan saja bagi yang beragama Islam, tetapi juga dari agama serta budaya bangsa kaum lain.

JIM berharap pihak Kementerian perihatin dengan kesan yang telah, sedang dan bakal timbul kepada rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah. Begitu juga kepada generasi muda yang mungkin akan turut terjebak sama dengan amalan 'keasyikan' perjudian ini.
Selain akan meningkatkan penyakit sosial, ketagihan judi boleh menularkan tabiat suka berhutang dan sanggup bergadai apa saja untuk menang dan nak cepat kaya. Telah ramai individu dan syarikat yang menjadi muflis secara mengejut akibat amalan berjudi,dan ini telah menyebabkan keruntuhan institusi keluarga, pergaduhan dan lain-lain krisis dalam masyarakat.

Adalah dikhuatiri aktiviti meminjam dari ceti haram seperti Along akan turut berleluasa diwaktu berlangsungnya Piala Dunia itu nanti. Disamping itu persepsi dan pemikiran masyarakat boleh rosak dengan anggapan bahawa judi dan sukan (termasuk arak) itu, adalah sesuatu yang sinonim.

Agama Islam menganggap judi itu adalah amalan jahilliah dan didalam Al Quran sendiri (Surah Al Baqarah ayat 219) ada menyebutkan bahawa judi dan arak itu merupakan satu dosa besar yang perlu dijauhi secara bersungguh-sungguh.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda bahawa:
" Akan sampai satu zaman dimana manusia tidak lagi mempedulikan sumber perolehan hartanya samada dari yang halal atau haram"
(Hadis Riwayat Tirmizi)

Oleh tu, JIM Pulau Pinang mendesak pihak yang diamanahkan kuasa yang terlibat meluluskan lesen perjudian ini, menarik balik kebenaran judi pertaruhan dalam semua jenis sukan yang berlangsung dinegara tercinta ini. Ini termasuklah membenteras segala aktiviti judi haram yang telah berjalan sekian lama.

Sekian, Terima Kasih.

Salam Hormat dari,
Hj Mohd Taufek Bin Hj Abd Rahman
Yang DiPertua JIM Negeri P.Pinang
019 4153850

Juga boleh dihubungi:
En Isahak b Ismail
Setiausaha JIM Negeri
012 4300216

1 ulasan:

hentian berkata...

IM tak minat main bola pun...