Memaparkan catatan dengan label Bicara YDP. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara YDP. Papar semua catatan

Selasa, 15 Jun 2010

Perutusan YDP JIM PP

Oleh : YDP JIM PP Tn Hj Taufek Bin Hj Abdul Rahman

Salam Semua..!
Saya jarang menggunakan saluran JIMPP ini untuk berbicara tentang IKRAM. Dan semua kita tahu hujung minggu ini akan ada satu peristiwa penting kepada gerakan dakwah di Malaysia, iaitu Majlis pelancaran IKRAM di Pusat Konvensyen The Mines di KL.

Program yang akan bermula dari jam 8.00 pagi dan akan berakhir 1.00 T/hari, dijangka akan dihadiri oleh 4,000 ahli dan belum ahli, penyokong, ahli keluarga dan tetamu jemputan dari pelbagai peringkat serta pihak media.

Kita dari Pulau Pinang akan pergi dengan 4 buah bas dan berkonvoi kereta . Setakat ini 210 orang akan kesana. Bagi yang berminat untuk untuk turut serta, kenalah bawa kenderaan sendiri kerana bas dah penuh...Bagi ahli JIM Pulau Pinang yang tinggal di KL dan yang lain boleh maklumkan kepada Setiausaha Negeri, Isahak jika ingin turut hadir dihari yang cukup bersejarah ini...Boleh la berjumpa dengan kawan2 lama dari P.Pinang dan seluruh Malaysia.

Apa akan jadi kepada JIM selepas ini? Kita tunggu dan lihat selepas 20 hb ini...Apakah akan ada satu PPN (Perhimpunan Perwakilan Nasional) Khas JIM dalam masa terdekat ini...Saya pun tak tahu..! Kebetulan bila saya jadi YDP Negeri, satu transformasi dan transisi besar2an sedang dan bakal berlaku kepada gerakan dakwah di Malaysia. InsyaAllah IKRAM akan menjadi satu wahana baru dan utama untuk dakwah kita dan massa...

Dakwah tidak boleh berhenti. Pengalaman luas aktivis JIM selama 20 tahun perlu dimanafaatkan sepenuhnya di dalam IKRAM dengan lebih tersusun dan mantap. Mari kita sama2 mendokong sambil berdoa agar platform baru IKRAM akan muncul sebagai satu kekuatan baru gagasan ummah bagi dekad ini dan dekad2 seterusnya...


HMT Salam Satu Ummah...!

Selasa, 22 Disember 2009

Perutusan Maal Hijrah 1431


Alhamdulillah. Barakallah ikhwah, akhawat serta keluarga yang dikasihi sekelian. Dengan masuknya kita ke tahun 1431H bertambahlah umur kita dan yang pasti kian rapat kita dengan kematian. Semoga di tahun baru ini kita akan meneruskan lagi usaha-usaha dakwah, kebajikan dan tarbiah ini dengan pecutan yang berganda. Walaupun ada pendapat ulama yang kurang bersetuju dengan sambutan sebegini namun dengan mengambil faedah hasil kerjasama berjemaah kita raikan juga sambutan sebegini dengan kadar yang sesuai dengannya.

Nabi Muhammad saw tiada mempraktikan sambutan sebegini namun bukan itu yang hendak dipertikaikan. Ulama dahulu dan kini telah membincangkannya dengan terperinci , rujuk sahaja jika kita berminat.

Adakanlah majlis-majlis doa di akhir dan awal tahun mudah-mudah lembut hati kita ini dan sedar kita akan kehadiran tarikh yang besar ini. Teruskan berdoa di hari-hari yang mendatang agar kita tidak terputus daripada pengharapkan kepada Allah SWT.

Syabas kepada ahli kita di Surau Bukit MinNurul Insaffiah Taman Sentul Jaya, Juru, kerana berjaya mengada Majlis Sambutan Maaal Hijrah dan Qiamulai pada 17 Disember 2009.

Amal yang berterusan walaupun sedikit. Bersyukur dengan dengan apa yang ada. Cerdik dan bijak menangani semua keadaan semampu boleh. Ini formula "ABC" mudah diingati. Bukannya "Air Batu Campur" tetapi istiqamah beramal sambil mensyukur segalanya dan terus tanggani sebarang ketentuan dengan tindakan-tindakan cerdik dan bijaksana. Semoga formula "ABC" dapat membantu kita menambah kekuatan dalaman dan luaran kita.

Wassalam.

Isnin, 17 Ogos 2009

JO vs RA.


Adakah JO membayangkan JIM sebegini? ( Polis Wanita Iran cuma gambar hiasan)

Apa yang berlaku diantara YB Jeff Ooi (JO) dan Hj Razali Abdullah (RA) beberapa hari yang sudah merupakan suatu isu yang perlu ditangani dengan bijak. Perasaan dan cara fikir sudah tentu akan mempengaruhi tindakan kita. Ada yang akan mencabar dan ada yang akan tercabar. Mereka yang ingin menunjuk kejantanan pasti mahu melahirkan satu sikap tegas yang tiada kompromi. Mereka yang mahu bersabar dan menggunakan pendekatan tertolak-ansur akan dikatakan dayus dan penakut. Bagaimana pula mereka yang hanya tunggu dan lihat sahaja?

Mari kita analisa bersama. Pergeseran ini adalah berbentuk tiga penjuru. Penjuru pertama ialah di antara JO dan RA. Ianya melibatkan masalah peribadi, kerjaya dan amanah. Ianya juga merupakan pegeseran pentadbiran dan berlainan budaya kerja dan pendapat atau pegangan. Mungkin ada unsur-unsur sikap dan keperibadian. Ini biarlah mereka berdua selesaikan dengan bertolak-ansur di antara satu sama lain. Tidak perlu sangat campur tangan luar. Budaya kerja mana yang tidak betul atau budaya kerja siapa lebih baik. Siapa perlu dipecat atau memecat. Itu soal institusi atau badan mereka yang berkenaan.
JIM banyak menekankan aktiviti tarbiah. Diantaranya ialah program usrah mingguan atau diskusi kumpulan kecil. Saluran matlumat, motivasi, semak diri, peringatan dan kebajikan ahli dititik-beratkan.

Penjuru kedua ialah di antara JO dengan JIM. Apabila visi sesebuah pertubuhan yang berusia hampir dua puluh tahun dipertikaikan oleh seseorang individu maka individu ini perlu diperbetulkan atau diperjelaskan. Kemungkinan ini adalah salah satu kejahilan individu itu atau mungkin satu penentangan ideologi atau pegangan seseorang. Walau apa sebabnya sebagai satu wadah dakwah dan kebajikan JIM mesti sedar fenomena ini mengambarkan tahap kefahaman seorang individi yang boleh mewakili sekelompok manusia yang masih tidak cukup dalam memahami pernyataan Visi JIM. Tidak mustahil jika ada juga orang Islam itu sendiri yang tidak mahu atau tidak faham atau tidak yakin dengan pernyataan Visi JIM yang mahu menegakkan Syariat Islam menjelang 2020.

Di sini sudah jelas tugas JIM bukan lagi bersengketa dengan JO tetapi banyak kerja perlu dibuat untuk memperjelaskan "Apa itu Syariat Islam" dan bagaimana ma'aruf besar ini menjadi pegangan aqidah sebagai seorang muslim. Sebagaimana wajib orang Islam melaksanakan solat lima waktu begitulah wajibnya kita menegakan Syariah Islam di atas muka bumi ini. Pengetahuan bahawa orang yang belum Islam ini akan mendapat manfaat besar jika bernaung di bawah Syariat Islam ini. JIM harua banyakan forum dan seminar mengenai Syariat Islam dan perlaksanaannya. Jika JO tidak faham maka menjadi tugas kita memahamkan beliau begitu yang lain.

Memang masih kurang cukup program ceramah dan seminar yang JIM anjurkan. JIM harus melipat-gandakan program sebegini agar masyarakat lebih celik.

Penjuru ketiga adalah JO dengan umat Islam. Sebagai umat Islam yang prihatin dan memahami tuntutan Syariat Islam sudah pasti akan marah dengan kenyataan JO. Beliau menegaskan, penegakan Syariat Islam adalah suatu perkara yang bahaya. Maka amat wajar FORUM, satu gabungan NGO Islam membawa isu ini ke hadapan. Walau bagaimana pun apa sahaja tindakan FORUM seharusnya tindakan yang terbaik yang mewakili semua NGO Islam. Bukan dipengaruhi oleh sikap atau budaya NGO tertentu. Keutamaan umat didahulukan. Tindakan undang-undang yang diperuntukan kita guna pakai dengan sebijak-bijaknya. Jangan hanya mengikut latahan daripada golongan tertentu yang ingin menangguk di air keruh sahaja. Agar tidak ada yang sewenang-wenangnya mempersenda Penegakan Syariat Islam di muka bumi ini lagi.

Jumaat, 17 April 2009

Perlukah JIM ditransformasikan kepada Parti Politik ?

Cuba lihat siapa yang anda kenal? Ustaz Sabawi Awang, Abdul Latiff dan Cikgu Rusli Hashim muda-muda dahulu di Teluk Bayu, Sungai Batu Teluk Kumbar.


Transformasi atau perubahan merupakan lumrah penghidupan. Setiap yang 'baharu' akan berubah. Berubah dari satu bentuk kepada yang lain. Berubah dari satu sikap dan sifat kepada yang lain. Kadang-kala perubahan itu perlu dan tidak dapat dibendung seperti manusia itu sendiri. Dari bayi kepada kanak-kanak. Dari kanak-kanak kepada remaja. Dari remaja kepada belia dan seterusnya dewasa, tua dan sebagainya. Dari alam bujang ke alam perkahwinan dan seterusnya beranak-pinak, bercucu-cicit. Tumbuh-tumbuhan, haiwan dan alam ini akan terus berubah. Prasarana dan keperluan juga berubah.

Sebelum aku mengenal JIM, ada satu organisasi "Perkarib" wadah persatuan sukan dan kebajikan. Aku tidak ingat masa dan aktiviti perjalanannya cuma aku ingat ianya digerakan oleh rakan-rakan di kawasan Sungai Ara dan Bayan Baru. Kami kerap main bola, berkhemah (camping), berqiamulail dan sebagainya. Kemudian muncul "Green International", persatuan ala perniagaan. Ahli-ahli digalakkan melabur beberapa RM. Kemudian timbul JIM ( Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia ) di Pulau Pinang dan juga seluruh Malaysia. Terasa hebat bila ada aktiviti, program dan mesyuaratnya yang pelbagai peringkat, daerah, negeri dan nasional. Pendek cerita seterusnya sekarang aku dilantik sebagai Yang Dipertua JIM daerah SPT.

Segaknya YDP JIM SPT siap pakai kod lagi. Ini gambar semasa latihan teknikal di Jepun tahun 1990.

Tentunya bergerak di atas landasan dakwah dan kebajikan ini tidak seberapa ujian-ujian yang mendatang berbanding dengan mereka yang berjuang di bidang politik. Kita ini masih ada ruang yang memberi keselesaan dan kemudahan . Namun setelah berada di persada dakwah selama hampir 20 tahun maka beberapa tanggung-jawab ummah dan masyarakat perlu diberi perhatian. Perjalanan dakwah akan terkesan dengan kemelut kepimpinan daerah, negeri, nasional dan juga peringkat antarabangsa. Mahu tidak mahu keseimbangan amalan "amar maaruf" tidak akan lengkap tanpa penglibatan "nahi mungkar”. Mengajak orang berbuat baik perlu disulami dengan mencegah orang berbuat jahat.

Pergolakan politik yang tidak stabil memberi kesan buruk kepada rakyat. Suasana yang tentu tidak kita ingini. Maka peliharalah hak rakyat nescaya akan terpelihara keamanan negara.

Setelah berkecimpung di dalam arena dakwah sekian lama, banyak kekuatan dan pengaruh telah terbina samada di sudut fizikal atau di sudut spiritual. JIM telah mencungkil dan melahirkan ramai pemimpin yang cemerlang dan berketerampilan. Mempunyai jawatan kuasa atau sayap yang beroperasi dengan amat baik. JIM sebagai wadah yang seterusnya menjana institusi yang baik seperti tadika, educare, sekolah dan beberapa syarikat sokongan yang terhasil untuk memenuhi tuntutan keperluan masyarakat setempat.

Ini mungkin muka-muka baru di dalam kepimpinan negara. Bermula dari pimpinan NGO dakwah kita transformasikan kepada pimpinan politik.

Dalam pandangan saya dengan rekod yang baik ini tidak mustahil di suatu masa yang sesuai JIM akan ditransformasikan dengan lebih hebat lagi ke arah menjadi salah satu partai politik yang diterima ramai dan berwibawa, insyaAllah. Maka di saat itu kita doakan semoga senario politik negara akan bertambah murni dan sudah pasti akan dapat memayungi negara dengan amat baik sekali. Maka mari kita fikir-fikirkan perkara ini.

Bersiapkah kita dikala itu?

Selasa, 3 Mac 2009

Bicara YDP



Alhamdulillah. Sudah lebih 6 bulan blog JIM SPT dilancarkan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengunjung yang melayari blog ini. Segala penulisannya merupakan bahan yang tidak lain dan tidak bukan untuk menyampaikan mesej dakwah dan kebajikan.

Selain aktiviti JIM, blog ini juga memaparkan realiti apa yang sedang berlaku dari masa ke semasa dan tidak terhad dengan isu setempat tetapi merangkumi keseluruhannya. Medan maya ini amat cepat berubah dan sentiasa bergolak. Maka segala informasi kita harus juga berupaya menyaingi arus perubahan dan pergolakan ini. Sebagai wadah yang membawa imej Islam maka JIM SPT merasa amat bertanggung-jawab untuk bersama di dalam perlumbaan maya ini.

Semoga anda akan tetap bersama mengikuti dan melestari blog ini. Segala tunjuk-ajar dan komentar adalah amat dialu-alukan. Terima kasih di atas keprihatinan semua. Teruskan melayari blog kami ini.

Bersama Islam Membina Masyarakat.

Rusli Hashim
YDP JIM SPT