Memaparkan catatan dengan label aktiviti JIM SPT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aktiviti JIM SPT. Papar semua catatan

Rabu, 23 November 2011

Ihtifal Tadika Amal Rintis

Laporan oleh: Umar Ismail


Sekali lagi, Tadika Amal Rintis berjaya mengadakan Hari Ihtifal sesi 2011 pada Nov 19, 2011. Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran ibubapa yang memenuhi dewan Institut Perguruan Malaysia (IPGM) Tuanku Bainun, Mengkuang, Bukit Mertajam.

( Berita selanjutnya boleh ikuti di http://bart8921.blogspot.com )

Ahli Lembaga Pengarah di pentas


Para ibubapa dan jemputan


Sebahagian dari pelajar membuat persembahan

Isnin, 21 November 2011

Mesyuarat Perwakilan Negeri Ke 21

Alhamdulillah, MPN selamat disempurnakan sebentar tadi bertempat di USM Transkrian, Nibong Tebal. Seramai 33 orang telah hadir.

Pemilihan Ahli Jawatan Kuasa JIM SESI 2011/2012 yang baru telah diputuskan sebulat suara seperti berikut;

Yang Di Pertua: Hj Taufek bin Abdul Rahman
Timb YDP: Hj Darus bin Chik ( lantikan baru )
Setiausaha: Isahak bin Ismail
Pen. S/U: Hamizat bin Ahmad
Bendahari: Mustafa bin Basri
Ketua Wanita: Lilis Surienty bin Abdul Talib

AJK:
Jamaluddin bin Abdullah
MD Roslan bin Hashim
Mohd Yusni bin Ghazali
Mohd Rizal bin Arshad

Pemeriksa Kira-Kira:
Mohd Shabri bin Abdullah
Yahya bin Jamaluddin

Pengerusi Tetap: Harryzan bin Yaakob
Timb Pengerusi Tetap: Rusli bin Hashim

Muga mereka akan melaksanakan tugasan dengan sesempurna mungkin.


YDP: Hj Mohd Taufek


TYDP: Hj Darus bin Chik ( Atan )

Ahad, 27 Mac 2011

Parenting Skill

Tadika Amal Rintis bersama Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang telah berjaya mengadakan program Mesra Keluarga.

Prgram ini antara lain bertujuan untuk merapatkan ibubapa dengan para pelajar dan juga pihak pengurussan TAR disamping berkongsi maklumat mengenai TAR dan tips pendidikan awal anak-anak.



Untuk maklumat selanjutnya boleh baca di blog Omaq Otai di sini.

Ahad, 17 Oktober 2010

Kenangan FRAHIM

Dipaparkan semula foto kenangan program FRAHIM yang diadakan sekitar Dec 2007. Program santai keluarga JIM Seberang Perai Tengah dalam usaha mengukuh ukhuwwah sesama ahli.

Foto ihsan dari Harryzan Yaakob
Catatan oleh Rusli Hashim

Catatan 1 - 17 Dec 2007

-----------------------------

Alhamdulillah.

Semoga dirahmati dan dilindungi Allah SWT.

Harapannya dapatlah kita berkongsi pengalaman yang sedikit ini.

Air di sini sungguh sejuk rugi kalau dilepaskan. Aku teringat rakan-rakan RINTIS kalau pergi ke mana-mana tentu tidak akan melepaskan peluang untuk mandi. Samada di sungai atau di tepi laut. Ini mungkin prinsip yang telah dibudayakan. Kalau tak mandi nanti tentu kena ceramah daripada rakan-rakan lain. Hj Atan diantara yang sering tidak akan diam saja. Tapi kali ini beliau tewas kerana serombongnya tidak mengizinkan.

DD pernah menyampaikan dalam ceramah-ceramahnya, Konsep, "Sambil menyelam, minum air dan tangkap ikan". Falsafah ini telah menjadi amalan kita ahli JIM. Buat satu kerja tetapi manfaatnya berbagai. Sambil menikmati sentuhan belaian alam, sambil menyantuni sahabat dan ahli keluarga. Satu lagi, aku mendapat petua bahawa adalah baik untuk kesihatan jika kita mandi air daripada air terjun yang airnya melalui akar-akar dan daun-daun kayu. Petua ini aku dapat daripada seorang tua India Muslim di WaterFall (Kebun Bunga) di Pulau Pinang. Masa itu bawa anak-anak berehlah semasa mereka kecil-kecil dulu. Terkenang abah dan emak dahulu pun sering membawa aku lima beradik ke tempat yang sama ini pada hujung tahun-tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan dahulu. Ceritanya panjang mungkin kemuadian boleh dituliskan.

Tiba-tiba hujan turun, aku menyuruh semua segera naik. Bukan apa kami dah lama mandi dan patut mula siap untuk beredar. Sudahlah ramai tentulah lambat untuk beredar. Ini perlu kemahiran, teringat aku ketika mengajar silat di SMK Teluk Kumbar. Selalu pada waktu pagi semasa hendak memulakan kelas silat aku. Budak-budak ini mengambil masa yang panjang untuk tukar pakaian atau uniform. Mulut lebih aktif dari kaki tangan. Kadang-kadang sehingga 20 minit. Apa lagi kena denda pusing padang selepas itu. Aku cabar mereka yang aku boleh tukar pakaian dalam masa 2 saat sahaja.


Catatan 2 - 19 Dec 2007

Saat-saat Berharga

Aku cabar mereka yang aku boleh tukar pakaian dalam masa 2 saat sahaja. Nak tahu bagaimana kena masuk silat Gayong dulu. Kekadang hairan kenapa ramai yang kurang berminat malah ada yang langsung tidak berminat dengan silat ini. Sekurang-kurangnya boleh bersenam, sekurang-kurang dapat berkawan & sekurang-kurangnya dapat beraktiviti yang bermanfaat. Program ke Bukit Fraser pun merupakan salah satu aktiviti yang bermanfaat dan menepati konsep "Sambil menyelam minum air tangkap ikan" Walaupun pada mulanya saya agak tidak bersetuju kerana ianya melibatkan masa hari bekerja (2 hari cuti), perjalanan yang jauh dan aku selalu ada kelas-kelas silat aku berbentuk mingguan terpaksa dicari pengganti atau ditangguhkan. Tapi aku juga YPD yang perlu sangat meraikan warga Jebat yang lain. Tapi jauh di dalam lubuk hati ini telah terbayang saat-saat berharga di samping keluarga dan sahabat-sahabat rapat dalam perjuangan ini.

Perjalanan yang panjang tetapi tidak menjemukan. Sentiasa ada agenda yang dimanfaatkan. Enam persinggahan dalam jangakamasa lebih kurang enam jam ke puncak bangalow dengan hembusan desiran angin yang sungguh nyaman sekali. Betul kata Yazid macam Selem High Country. Zulkar9 mengatur perjalanan dengan baik, teliti dan berhemah. Sesekali membuat perubahan diatas perbincangan ringkas. Memang aku bersedia mengikut dan mematuhi arahannya. Kadang-kadang terfikir alangkah baik kalau beliau meneruskan menjadi YDP JIM SPT ini. Aku sunggup menjadi TYDPnya. Macam Misi Mengapai Awan di Puncak Tahan. Aku menjadi orang kedua dalam Squadrom Rajawali dan Zulkar9 ketuanya.

Sampai di bangalow selepas balik dari Air Terjun Jeriau ramai keletihan. Aku bawa 5 bungkus mee segera cadang nak buat magee 4 tayar tetapi anak-anak Jebat ini nampak berselera dengan mee segera ini termasuk tuan pengarah, habis isteri ku masakan untuk mereka. Maka selamatlah mee-mee segera ini.

Sebelah petang Zul mengajak aku main ping-pong tetapi aku menolak kerana segan tak pandai main.Tapi bila diajak beberapa kali aku pun menyahut cabaran Fraser ini. Zul partner dengan anakandanya Muaz dan aku dengan Ust Rozee. Bergu sama mantap tetapi aku mempunyai kelebihan kerana skill aku dalam silat. Dengan beberapa pekikan-pekikan mereka tidak mampu menerima tekanan dan asakan dari aku dan Ustaz Rozee. Muaz cuba mengimbangi markah kemenangan dengan membuat smash tajam dan kuat. Bola ping-pong menjuman tajam tapi tersasar. Bahaya sungguh bat ping-pong pun terlepas dari tangan lantaran terlalu laju smash terbang tanpa kawalan dan terus terkena .... aduuuuh.


Catatan 3 -24 Dec 2007

Tanggung-jawab dan contoh terbaik.

Subuh Jumaat 7 Disember 2007 aku tidur alhamdulillah cukup lena sekali sehingga alarm handphone tidak berapa sedar berbunyi. Laungan azan Ust Rozee yang pasti telah mengerakan aku untuk terus bangun. Perlu solat Subuh berjemaah minda ku berbisik. Aku kena jaga status aku sebagai YDP. Langsung tiada rasa RIAK, aku ceritakan di sini, yang aku tahu aku harus tunjuk contoh yang terbaik kepada warga Jebatku ini. Walaupun ada seorang dua yang bersolat di bilik masing-masing. Tidak mengapa mereka ada alasan yang baik. Cerita pecah pintu bilik air sudah ke ceritakan di episod yang lalu. Rujuklah bagi yang terlepas.

Alhamdulillah tarbiah kita dalam JIM telah kita budayakan agar semua aktiviti-aktiviti samada dalaman atau luaran solat menjadi agenda terpenting. Aku praktikan dalam agenda silat ku juga. Kita yang diberikan kepercayaan mengatur program maka ambillah kesempatan itu dengan mengisi acara-acara solat berjemaah, kuliah, tazkirah dan seumpamanya. Pernah di Konvensyen Guru-guru Silat SeMalaysia di Port Dickson selama dua hari. Dalam muzakarahnya aku bangkitkan kenapa tidak dijadikan aturcara konvensyen pada ketika itu solat berjemaah. Isu-isu perpaduan disuarakan tetapi mana landasannya. Perpaduan diatas dasar bangsa melayu tidak boleh bertahan lama. Padahal solat berjemaah merupakan perkara asas kekuatan Islam.

Solat Jumaat di Bukit Fraser.

Cukup masa kami berangkat ke masjid berdekatan, mungkin satu-satunya masjid yang ada di sini. Naik Naza Zul semua ikhwah pergi tiada yang uzur. Sampai di masjid tidak ramai jamaah. Masing-masing pakai baju tebal dan baju sejuk. Jarang berjumpa suasana sebegini di masjid lain yang biasa aku pergi. Rasa macam di negara Mat Saleh pada musim sejuk. Tapi tidak apa sejuk pun sejuklah. Aku pun pernah melalui suasana sejuk sebegini semasa bermain salji di Jepun beberapa kali semasa majikan tempat kerja aku menghantar belajar teknologi mereka di sana. Imam dan anggota jemaah di Masjid Bukit Fraser ini kebanyakannya muda-muda belaka. Kami berseloro sesama kami. "Tok Imam nie mungkin baru kena transfer ke sini mungkin kerana pro sebelah pihak lain".

Tidak mahu teruskan cerita.

Petang itu kami berkemas dan pulang ke SPT. Mungkin 10 tahun lagi kami akan ke sini sapa aku kepada penjaga bangalow di puncak Fraser ini yang rasa aku seorang warga Indonesia. Banyak lagi yang hendak diselitkan tetapi rasa mungkin di lain kalilah kalau ada peluang dan izin Allah SWT. Rasa-rasa cukuplah sekadar di sini. Kalau banyak tulis mungkin ramai yang bosan. Tapi sememang adat kalau bermula kena ada penamat. Cuma aku hairan guru silat aku kata silat gayong tiada penamat. Penamatnya cuma bila kita mati. Betulkah begitu? Penamatnya dapat Bengkong Putih di kepala, pinggang dan kaki.

Ahad, 10 Oktober 2010

PATT 14 Jan 07 - Ukhuwwah Yang Segar

catatan: abu hanifah amri

Tatkala aku terjaga, jam sudah pukul 9.00 pagi. Aku capai talipon selular lalu mendapati ada satu panggilan terlepas ( miss call ) dari yang tak bernama. Aku teragak-agak untuk mendail semula panggilan tersebut. Manalah tau, kut-kut silap nombor ke atau bank ke yang talipon. Mengabiskan duit je kalau call balik. Namun atas rasa tanggungjawap terhadap etika penggunaan talipon aku dail semula nombor tersebut. Ah, rupanya si Zul9 yang talipon aku.

" Anta di mana? "

" Di rumah! "

" Ah, Ana ada kat Mengkuang Dam ni. Kalau anta nak mai, sempat lagi nih!"

Ah, aku tepuk dahi. Macam mana boleh terlupa lak ni! Ini semua sebab fokus aku tertumpu pada hal anak aku malam tadi hingga tidur lewat pagi. Lagi pun, aku tak set jadual PATT ke dalam reminder talipon seperti selalunya. Kalau set pun entah bangun entah tidak.

Aku pederas dengan kereta ke Mengkuang Dam. Basuh muka dan sikat rambut je. Sambil memandu aku mula mengatur ayat-ayat yang logik untuk dicakapkan jika ada pertanyaan kenapa aku kerana datang lewat ke PATT ini. Datang itu lebih baik dari tak datang lansung; agaknya itu jawapanku nanti.? Atau paling baik diam je...dan tukar topik lain. Heh! Heh! Itu antara kemahiranku yang mereka tidak tahu.


Sesampai je di parking, mata aku liar mencari. Dari jauh ternampak kepulan asap. Aku tahu sangatlah sahabat SPT ni. Kalau DD tau, tentu dia mengomel dengan sahabat SPT yang dah melanggar etika seni senaman. Orang buat senaman badan, depa buat senaman perut. Orang lain terkedang letih berpeluh, depa terkedang letih memerut.

" Anta dilantik jadi Timbalan pengurus KEMUDI 07. Ok ka? " tanya Zul9.

"Ok la...." Dengan sikap positif aku terima tanggungjawap itu walaupun ada sikit ragu-ragu atas prestasi aku sendiri. Anyhow, kalau pengurusnya bernama Zul9, should be ok la...

Roes pula khabarnya senasib dengan aku; jadi ajk logistik. Nasib la Roes oi...alamat terkorbanlah Honda tu nanti....


Jam 11 lebih kami bersurai setelah habis koi tepek yang dimasak atas bawah oleh Mad Habuna. On the way balik, aku sempat singgah di kedai minum Penanti; mengalas perut yang masih lapar sejak dari Mengkuang Dam tadi.

Sorilah Mad. Bukannya pasal tak sedap koi tepek kau tadi. Cuma mulut ni aje yang tak lalu nak kunyah. Koi tepek kau tu mengingatkan aku pada Opah aku yang memang suka buat koi tepek tu bila kami datang ke rumahnya masa kecil-kecil dulu.

( catatan ini ditulis pada 16 Januari 2007 melalui melgrup JIM SPT. Disiar semula di blogini dengan ihsan penulis. )

Isnin, 22 Mac 2010

QIYAM WANITA DAN REMAJA

31 JANUARI 2010.


Qiyam wanita negeri dibawah kelolaan Wanita JIM SPT bersama remaja dan IPT telah berlangsung di masjid Seberang Jaya pada 31 Januari 2010 yang lalu.
Alhamdulillah, sambutannya di luar jangkaan. Lebih kurang 130 peserta telah hadir yang terdiri dari wanita JIM, rakan dan remaja setiap daerah di Pulau Pinang. Apa yang menarik ialah lebih 60 orang peserta qiyam kali ini adalah dari kalangan remaja dan IPT.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah ceramah “Al-Quran dan Sains” oleh ustaz Syazalie, Bengkel dan pembentangan “Remaja dan Quran “ oleh Remaja dan pelajar IPT, tadarus dan qiyamullail.

Antara pelajar yang hadir adalah dari SMK Permatang Pasir, SMK Pauh Indah, KMPP, ACMS, IPPPP dan lain-lain. Hasil dari soal selidik lebih 90% memberi respon positif malah meminta program sebegini diteruskan lagi. Lebih 50 % daripada responden berminat untuk menyertai JIM. Alhamdulillah beberapa orang wanita dari Taman Pelangi kini telah mula mengikuti usrah.

Rabu, 23 Disember 2009

Ziarah Rusli Rashid

Pada hari ahad 20/12/2009 jam 6:00pm ana, isteri, Azua (Generasi Y), Syafiqah (Anak), Rahidah (isteri Rusli Hashim) dan Nor Saadah (anak Rusli Hashim) telah menziarahi akhi Rusli Rashid dirumahnya. Alhamdullillah sesampai kami di rumah beliau, ahki sedang berihat setelah penat berjalan-jalan di persekitaran luar rumah dengan bantuan alat berjalan (kaki tiga). Ketika itu isterinya tidak ada di rumah kerana ada urusan di Sekolah Islah .

Tidak beberapa lama kemudian fauziah (Isteri Aki) pun pulang. Kami disaji dengan air segera, sambil kami bertanya khabar dan harapan sembuh penyakit beliau itu. Kami lihat banyak ubat ubatan yang dimakan oleh Rusli, maklumlah nak cepat sembuh.

Akhi kata sekarang ini cuma perimbangan badan dia yang tidak dapat di control ketika dia berjalan, kaadaan kaki kebas masih terasa dan pening kepala ketika berbaring apabila cahaya menyucuk kemata, jadi kena pakai cermin mata hitam atau pejamkan mata ketika berbaring.

Alhamdullilah kerusi roda telah selamat diserahkan kepada Akhi Rusli dan kami sempat bergambar beramai ramai ketika penyerahan kerusi roda tersebut.

Kami beredar kira kira jam 7:15pm meninggalkan harapan dan doa buat Aki Rusli Rashid agar sabar dengan cubaan dan dugaan juga agar cepat sembuh.


Catatan: Ahmad Baharuddin / JK Kebajikan

Isnin, 7 September 2009

Iftar Bersama Ulama' Anjuran STAIL & SMART

JIM SPT bersama adik-adik JMTI turut serta meraikan Majlis Iftar bersama ulama anjuran STAIL dan SMART.

6 September 2009 Majlis Iftar Perdana Bersama Ulama, bertempat di Dewan Besar Sungai Dua, Seberang Perai, Pulau Pinang: "Usaha guru yang tekun, sokongan ibu-bapa, PIBG yang padu dan berterusan, ikhlas semua pihak, adalah pra-syarat 'kejayaan' sesebuah sekolah swasta di arus pembangunan masa kini. Hasilnya berbaloi apabila melihat anak-anak didik sekolah-sekolah ini menjadi hufaz al-quran, pensyarah, dan pelbagai bidang profesional yang lain. Terasa penat lelah selama ini terbalas."

Ustaz Alias Osman seorang tokoh ulama JIM sedikit berusia tetapi tetap gigih menyampaikan Tazkirah Perdana. Terlibat aktif sejak penubuhan JIM dan rangkaian sekolah-sekolah JIM.

Itulah ungkapan seorang pejuang pendidikan seumur hayat, Ust Alias Osman, penasihat penubuhan rangkaian sekolah-sekolah Islam swasta Al-Amin/Al-Hira' di Majlis Berbuka Puasa anjuran Sek Tahfiz Al-Islah, Tok Bedu, Tasik Gelugor, Pulau Pinang.

Wanita JIM SPT juga tidak ketinggalan memberi sokongan kepada majlis ini. Di bulan Ramadhan Al Mubarak kena banyak infaq dan sedekah.

Pemanduan falsafah dan kurikulum pendidikan di peringkat awal adalah paling utama untuk mempastikan objektif pendidikan melahirkan insan pemimpin dakwah, islah dan gerakan Islam dalam membawa risalah dan syariah Islam dari Tuhan untuk manfaat seluruh manusia dan alam. Urusan pengoperasian lainnya akan terarah pada falsafah yang diwujud dan disepakati.Cabaran tetap ada seperti guru-guru yang meninggalkan sekolah setelah sekian lama berkhidmat dengan sekolah, prasarana yang dhaif di peringkat awal. Semua ini diharungi dengan tabah dan tawakal kepada Allah.

Kejayaan demi kejayaan dicapai masa kini. Sekolah rangkaian yang mampu meraih pelbagai kejayaan seperti menjuarai debat Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu peringkat kebangsaan, anak-anak yang bijak dalam pertandingan "Spell-It-Right" dan sebagainya.

Keluarga peguam Harryzan Yaacob dan Ustazah Saliza bergaya dengan pakaian seragam mereka. Tuan Hj Atan agak ingin bertanya, "Baju Raya ka Zan, hampa beli kat mana?"

Apapun faktor kejayaan dan kecemerlangan institusi pendidikan adalah kekuatan guru-muallim- muallimah disokong dan dibantu kuat oleh pengurusan pentadbiran lembaga dan pibg. Tidak ada jalan pintas. "Rule of Thumb" adalah mana-mana sekolah yang merosot prestasinya adalah disebabkan faktor-faktor di atas yang menurun.

Dilaporkan oleh:
Hj Mohd Rashid Hasnor

Rabu, 29 Julai 2009

MAD DITANGGUHKAN!

Adalah dimaklumkan bahawa MESYUARAT AGONG DAERAH JIM SBEREANG PERAI TENGAH seperti yang telah diuar-uarkan sebelum ini terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Pihak urusetia memohon berbanyak kemaafan atas kesulitan yang berlaku. InsyaAllah, pihak urusetia akan memaklum tarikh baru MAD apabila keputusan baru telah dibuat.

Harap maklum dan sebarkan berita ini...

Isnin, 8 Jun 2009

Kenduri Untuk Sdr Rahimie


Assalamualaikum rwt wbt

Semalam JIM SPT telah mengadakan satu majlis perpisahan warga jebat yang akan berangkat ke Kuching Sarawak kerana telah dinaikkan pangkat dan berpindah tempat bertugas di sana.

Sdr rahimi adalah seorang warga jebat yang telah memberikan sebahagian besar tenaga untuk menjayakan agenda Jebat. Perpindahannya ke Kuching amat dirasai oleh warga Jebat. Dikesempatan mengadakan majlis itu juga warga jebat telah sempat beramah mesra dan berjamu selera (dinner) bersama di warung pasar malam Ahmad Habuna di Guar Perahu.

Warga jebat juga telah berbincang dan mengatur starategi untuk menjadikan Jebat JUARA di dalam KEMUDI 09 nanti. Jebat telah memilih Sdr Harryzan Yaakob untuk menjadi ketua kontinjen dalam KEMUDI 09.

Jzkk

Form Ust Mohd Rozee

Sabtu, 23 Mei 2009

Qiamulai Mei 2009


Qiamulai
untuk Ikhwah JIM SPT


Pada hari Sabtu 23 Mei 2009


Bertempat di Surau Taman Sentul,
Bukit Minyak ( dekat SMK Teknik )



jam 7.30 ptg hingga 7.30 pagi



Jika hadir harap maklumkan kepada


Ust Hj Mohd Rozee Abd Razak - 0194757487

Lajnah Ulama dan Dakwah JIM

Jumaat, 22 Mei 2009

HJ ATAN (TYDP JIM SPT) MENERIMA BORANG AHLI BARU SPT


Semalam 21 Mei 09 Hj Atan telah menerima 4 borang ahli baru dari penduduk Taman Sentul Jaya , Bukit Minyak (Daerah SPT).

Adalah dimaklumkan akan ramai lagi akan memasuki ahli JIM SPT dari penduduk Taman ni. Mereka yang menyerah borang semalam diwakili oleh cikgu Fauzi yang mengajar di SK bandar Perda B.Mertajam. Mereka juga adalah diantara jamaah surau taman Sentul yang mengikut kuliah pengajian fardhu áin yang diajar oleh Ust Mohd Rozee.

Setelah lebih kurang 5 bulan mengikuti usrah bersama ustaz maka semalam mereka membuat keputusan menjadi ahli. Dari empat orang yang menyerahkan borang , 3 darinya memohon ahli seumur hidup dan seorang ahli biasa. beberapa orang lagi akan menyerahkan borang pada minggu hadapan.

Wanita JIM SPT juga akan mula menziarahi semua isteri-isteri ikhwah yang telah mengikuti usrah itu.

Sekian wassalam.


Dilaporkan oleh :

Ust Rozee Abd Razak

Selasa, 31 Mac 2009

Sukaneka TAR 2009


Anak-anak, guru-guru, ahli dan rakan JIM SPT bersatu tenaga menjayakan Sukaneka TAR 2009.

Pada hari Sabtu 28 Mac 2009, alhamdulillah Rangkaian Tadika Amal Rintis (TAR) telah berjaya menganjurkan Sukaneka TAR 2009 bertempat di Sek Keb Sri Impian Taman Guar Perahu, seperti yang dijadualkan. Seawal 8.00 pagi, ruangan kantin sekolah telah padat dipenuhi oleh anak-anak, ibubapa, saudara-mara, sukarela dan guru-guru TAR.

Majlis dipengerusikan oleh saudara Khaizul dan dimulai dengan nyanyian Lagu Negaraku, Selamat Pulau Pinang dan Lagu Sukan TAR oleh anak-anak TAR daripada Taman Baru Seberang Jaya yang seramai 30 orang dan daripada Taman Guar Perahu seramai 72 orang.


Diantara hadiah yang disediakan. Ucapan terima kasih kepada Group HPA Musleh Wanita JIM SPT menyumbang produk-produk HPA.

YDP JIM SPT Rusli Hashim telah menyampaikan ucapan aluan dan diikuti dengan ucapan perasmian oleh wakil guru besar, Cikgu Mohd Suhaimi b Md Noor Penolong Kanan Kurikulum SK Sri Impian. Untuk maklumat tambahan TAR mempunyai seramai 9 orang guru terlatih mengawasi 7 kelas dengan murid seramai 102 orang.

Pasukan biru telah menjadi johan, diikuti pasukan kuning yang kedua dan merah ketiga.

Pelbagai acara telah berlangsung dari 10 acara anak-anak hinggalah ke 5 dewasa dan ibubapa. Sukaneka TAR kai ini berakhir jam 1.00 tengahari dengan penyampaian hadiah-hadiah untuk kesemua acara yang dipertandingkan oleh YDP JIM SPT Rusli Hashim.

Aksi menarik larian berhalangan.

Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan dan ahli JIM, para guru dan suami yang telah membantu dari mula hingga akhir Sukaneka TAR 2009 ini. Syabas TAR dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat. Terima kasih juga kepada pihak Sekolah Kebangsaan Sri Impian Taman Guar Perahu yang telah menyediakan segala kemudahan-kemudahan.

Semoga titik-peluh kalian mendapat ganjaran berganda dari Allah SWT.

Rabu, 25 Mac 2009

Salam dari Sarawak


Assalamualaikum.
Semoga kalian sihat-sihat belaka hendaknya.

Gambar di atas diambil di Taman Negara Similajau Bintulu, Sarawak. Kebetulan pada 16/03/2009~20/03/2009 kena buat kerja di Bintulu, maka inilah peluang meronda-ronda. Di Sarawak saya ditugaskan dengan bermacam-macam kerja dari inspection, siasatan dsbnya.

Di Taman Negara ini ada sebuah sungai yg bertemu ke laut. Pantainya boleh tahan dan ada chalet lagi. Jika hendak buat ‘camping’ cantik. Tapi yang bahaya tu, sungainya ada 'boya', siap diletakkan “sign board’, "AWAS ADA BUAYA".

Perjalanan dari Kuching ke Bintulu lebih kurang 10 jam dan jaraknya lebih 650km menggunakan kenderaan pejabat ‘Fortuner’. Di sepanjang perjalanan, kiri kanan akan nampak rumah panjang. Sekarang sudah moden, “Astro pun ada oooi”. Kebanyakan rumah panjang bukan macam dulu lagi, sudah ada yang bertukar menjadi rumah teres dua tingkat macam di Semenanjung juga.

Itu saja laporan dari Kuching Sarawak. InsyaAllah saya akan pulang bercuti pada 01/04/2009 hingga 8/04/2009 ini. Bulan Jun nanti baru saya bawa keluarga pindah.

Rahime-JKKP Sarawak

“Lepas ni nak kena belajar buat blog laa..Akhi YDP Rusli & Akhi Abu boleh bg kot tipsnya”.

Selasa, 24 Mac 2009

Sukan Tadika Amal Rintis

Tarikh: 28/3/09 (Sabtu)
Jam: 8. 00 pagi
Tempat: Pdg Sekolah Seri Impian Tmn Guar Perahu


Aturcara Majlis

7.45 pg Ketibaan ibubapa, anak tadika
Majlis Perasmian
Ucapan Aluan Pengerusi Majlis
Doa
Ucapan YDP JIM
Ucapan Perasmian


Aturcara Sukan TAR

Acara 1 hingga Acara 3 Tahap 1 (5 tahun)
1. Tarik bola dalam gelung
2. Perah air dalam botol
3. Baling bola dalam bakul

Acara 1 hingga Acara 3 Tahap 2 (6 tahun)
1. Tarik guni
2. Susun tin
3. Lari berhalangan

10.30 pg Rehat

Acara 4 & acara 5 Tahap 1 (5 tahun)

1. Lompat kangaru
2. Junjung pundi kacang

Acara 4 & acara 5 Tahap 2
1. Kasut panjang
2. Bawa straw atas bibir

Acara ibubapa

1. Ibu cari anak
2. Ibu baling air kepada bapa
3. Pecah belon (bapa tiup, anak lari, ibu pecah)
4. Timbang bola- acara bapa
5. Kasut terompah (ibu, bapa, anak)

Acara Kelas Iqra
Lumba lari

Acara Majlis Penutup Sukan TAR
Ucapan aluan Pengerusi Majlis
Penyampaian hadiah acara ibubapa
Cenderamata hakim
Penyampaian hadiah rumah- johan,naib johan, ketiga
Ucapan YDP JIM SPT
Bersurai

SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI BERSERTA KELUARGA DI JEMPUT HADIR BERSAMA!

Sabtu, 21 Mac 2009

SMART SOLAT

Pengarah Program SMART SOLAT Pn Azlina sedang menyampaikan hadiah.

Di dewan Masjid Taman Guar Perahu telah berhimpun 42 anak-anak dari sekitar taman mengisi ruangan cuti persekolahan dengan mengikuti program aulad anjuran Wanita JIM SPT.

Cikgu Rahidah sedang menerangkan tentang syarat dan rukun wudhuk

Pada 9.00 pagi Isnin 16 Mac 2009 bermula program dengan pendaftaran diikuti dengan taklimat daripada Pn Azlina bt Maidin sebagai pengarah.

YDP JIM SPT Cikgu Rusli Hashim turut membantu mengendalikan hal-hal teknikal. Hai Cikgu tak kerja ke hari itu?

SMART SOLAT ini bertujuan mendidik anak-anak ke arah penghayatan solat, memperbaiki kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan ketika berwudhuk dan solat. Para peserta juga diberi penekanan mengenai rukun-rukun dan bacaan di dalam solat.

Barisan urusetia dan guru-guru. "Terima Kasih cikgu".

Syabas diucapan kepada Pn Azlina, ajk dan tenaga kerja dari guru-guru Tadika Amal Rintis. Semoga segala usaha mendidik anak-anak ini menjadi amal bakti dan diganjari oleh Allah SWT. Dengar kata sambutannya amat menggalakan. Wanita JIM SPT bercadang akan menganjurkan lagi program ini pada cuti persekolahan yang akan datang insyaAllah.

Mengambil wudhuk secara amali memberi pendedahan sebenar kepada para peserta

Ahad, 1 Mac 2009

PATT Ahad 1 Mac

Catatan: abu hanifah

Ada PATT pagi Ahad 7.30 pagi di Mengkuang Dam. Begitu sms yang aku terima semalam. PATT adalah program riadah mingguan untuk ahli JIM SPT khususnya dan sesiapa yang berminat, amnya. Biasanya kalau aktiviti di Mengkuang Dam ini berjogginglah. Habis jogging kami akan berkumpul di bawah pokok dan makan bersama sambil bertanya khabar dan berbincang tentang perkembangan semasa.

Orang 'lama' seperti aku ini kalau berjogging seeloknya berjogging secara santai. Berlari-lari anak sekadar untuk test drive jantung yang dah lama bekerja dalam mood selesa. Lagipun untuk mengelakkan lutut dan kaki dari tercedera. Lainlah kalau memang sportman.

Paling bagus membuat senaman ringan dahulu untuk meregangkan otot-otot yang semalaman berihat. Kalau berjogging pula seeloknya bernafas melalui hidung dan menghembuskannya melalui mulut. Hembusan nafas biarlah keluar dari dalam rongga dada.

Selalunya muka-muka yang datang berPATT ini muka yang regular. Kebanyakan di kalangan AJK JIM SPT dan dimeriahkan lagi bersama anak-pinak mereka. Sesekali baru ada sahabat lain yang join.

Program PATT memang gah di mata JIM daerah lain. Dari program PATT inilah lahirnya ilham mengujudkan ROV ( Rintis Outdoor Venture ).

Secara dasarnya pengisian PATT mudah sahaja;

1. Pengurus PATT - eg: Ahmad Baharudin menetapkan lokasi dan tarikh serta sms
2. Riadah - jogging atau gotong royong atau ziarah
3. Makan - pot luck style atau singgah dimana-mana kedai makan
4. Bersembang
5. Kehadiran tidak jatuh wajib tetapi di galakkan

Yang paling penting ialah istiqamah, saling bersangka baik dan faham memahami.

Ramai orang pulak di Mengkuang Dam pagi ini. Aku sempat melihat sekumpulan peminat foto mengambil gambar bunga kertas yang berwarna pink sedang kembang mekar di sepanjang jalan masuk.

Jam 9 aku bersiap balik setelah berihat menurunkan suhu badan yang panas dan berpeluh.

Singgah di Masjid Kg Mengkuang untuk solat Dhuha. Muga-muga Allah rahmati usaha kami ahli-ahli JIM dalam memartabatkan syariat Islam pada tahun 2020.

Isnin, 2 Februari 2009

Malam HIMMAH

oleh: abu hanifah

Sempat menghadiri Malam Himpunan Ummah Selamatkan Gaza (HIMMAH) di Dewan Milenium, Kepala Batas malam tadi, Ahad:1 Feb 2008. Penganjuran oleh 25 gabungan NGO antaranya ABIM, API, PUM, JIM, ISMA, IQ, IPCI, TERAS, YMSC, SUFI, BKAIP,ISRA dan BADAI.

Himpunan manusia tidaklah sebanjir yang diharapkan namun usaha ini sebenarnya amat dihargai demi pernyataan keprihatinan kita terhadap isu kemanusiaan gobal yang mula suam suhunya.


JIM Seberang Perai Tengah diketuai oleh YDP Rusli bin Hj Hashim berperanan menyediakan tabung kutipan derma dan juga mengedarkan risalah di malam tersebut.

(krew JIM SPT memakai kemeja T hijau)

Bemula dengan bacaan Quran oleh Johan Akedami Al Quran TV9 - Fakhrul Radzi. Ucapan pengarah program Prof Madya Dr Mohd Roslan bin Hashim mengungkap penderitaan rakyat Palestin ini sejak 61 tahun yang lalu. Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang SS Dato' Hj Hassan bin Ahmad kemudiannya menegaskan bahawa Dr Yusuf Qardhawi meletakkan jihad minima bagi seluruh umat dengan memboikot barangan keluaran Israel dan Amerika sebagai Fardhu Ain. Satu riyal pembelian barangan mereka sama seperti memberikan satu peluru yang kemudiannya digunakan oleh askar Israel untuk membunuh rakyat Palestin.

Ucapan dari Ust Mutalib Maarof, Mudir Madrasah An Nahdhoh, Kubang Semang membuka seerah Nabi menebang pokok tamar ketika memerangi kaum yahudi kerana tamar adalah sumber pendapatan yang kukuh bagi kaum Yahudi. Maka berpandukan seerah ini Amerika adalah barua kepada Israel. Maka wajib bagi umat Islam memboikot demi melumpuhkan ekonomi mereka sekaligus akan melemahkan kekuatan mereka.


Dr Danial yang memang dikenali sebagai pemidato berfakta menghurai perbezaan antara Yahudi dengan rejim Zionis. Zionis yang kita perangi sekarang ini berkiblatkan kitab Tarmut yang mengatakan bahawa Yahudi adalah umat 1st class di dunia ini. Bangsa lain hanya setaraf dengan anjing. Zionis akan menangis dan menembak. Menangis memberitahu dunia bahawa mereka sebenarnya di aniaya oleh Hamas. Mereka menembak Palestin kononnya untuk mempertahankan diri. Dunia sebenarnya ditipu oleh Zionis!

Dr Danial dengan tegas dan keras mengajak mereka-mereka yang masih tegar dengan tabiat merokok supaya menghentikan tabiat membazir ini. Ianya bukan sahaja telah difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan malah rokok itu sebenarnya adalah produk milik Phillip Morris yang juga rakyat Amerika dan penyumbang kepada kewangan Israel. Jangan biarkan bibir yang melaknati Israel tetapi di ketika yang sama di celahnya tersangkut sepuntung rokok yang sedang membakar wang ringgit titik peluh sendiri dan asapnya dihantar untuk membakar rakyat Palestin.

Ucapan dari salah seorang anak tempatan Gaza yang belajar di Malaysia tapi kini tidak dapat pulang semula ke Gaza mendedahkan birokrasi oleh Mesir dan Jordan yang mengaku negara Islam. Audien juga dipaparkan dengan tayangan video yang menggambarkan kesengsaraan anak-anak Palestin.

Tidak ketinggalan penasyid Nazrey Johani mengisi malam HIMMAH ini dengan menyuntik kesyahduan jihad lewat lirik yang bernas dalam lagu-lagunya. Kalian tentu sedang mendengarnya secara lansung dari musik latar catatan ini. Marilah kita terus istiqamah dalam memboikot barangan Amerika dan Israel, disamping berdoa muga Allah kurniakan kejayaan akhirnya kepada mereka.

KHAYBAR KHAYBAR YA YAHUDI! ALLAHUKBAR!!!

Selasa, 20 Januari 2009

Edar Risalah Boikot oleh JIM SPT...6

Salam,

Alhamdulillah. Semoga diberkati dan dikurniakan kesihatan yang terbaik.

Kali ini, Isnin 19 Jan 09 operasi diteruskan di Pasar Malam Penanti. Edaran risalah boikot JIM SPT berjalan lancar bermula jam 8.00 malam hingga 8. 45 malam. Bermula dari jalan masuk pasar malam di sebelah jirat Cina. Ketua Operasi ialah Abu Hanifah yang telah menyelenggara dan memantau operasi dengan baik.

Masih ada pengunjung yang tertanya-tanya fungsi boikot kita. Ada yang memberi sumbangan RM.



Risalah baru telah buat menghuraikan 21 perkara bagaimana kita boleh membantu Palestin dan tidak hanya mengeloh sahaja.

InsyaAllah malam ini JIM SPT akan berbincang kearah langkah dan operasi yang seterusnya.

Mudahan-mudahan usaha kecil kita akan memberi sedikit kesan kepada diri sendiri dan masyarakat umum.

Allahu Akhbar!

Catatan:
Rusli Hj Hashim

Isnin, 19 Januari 2009

Demo Selamatkan Palestin

Salam.

Alhamdulillah.Semoga dirahmati dan dikurniakan kesihatan yang baik.

Demo Selamatkan Palestin pada hari Ahad 18 Januari 2009 di hadapan bangunan Telekom Malaysia telah berjalan baik dan cemerlang tanpa sebarang perkara-perkara yang tidak diingini. Bermula jam 5.30 petang ramai yang telah berhimpun membawa sepanduk masing-masing membuktikan kerjasama yang baik di kalangan NGOs, PAS dan Unit Amal. Walaupun ada beberapa anggota polis memantau dan bertugas namun Unit Amal telah menunjukan kawalan lalu-lintas dengan baik sekali. Syabas Unit Amal.


Beberapa orang tokoh masyarakat telah memberi ucapan masing-masing dengan sungguh bersemangat termasuk wakil JIM - Dr Roslan Hashim.





Demo diakhiri dengan membakar membaling kasut dan gambar Bush juga bendera Israel.

Bagi yang terlepas boleh bersama pada 1 Feb 2009 di Dewan Milenium pula. Rujuk ruang JOM PAKAT_PAKAT P... di sebelah kiri blog ini.

J & W
Rusli Hj Hashim