Isnin, 22 Mac 2010

QIYAM WANITA DAN REMAJA

31 JANUARI 2010.


Qiyam wanita negeri dibawah kelolaan Wanita JIM SPT bersama remaja dan IPT telah berlangsung di masjid Seberang Jaya pada 31 Januari 2010 yang lalu.
Alhamdulillah, sambutannya di luar jangkaan. Lebih kurang 130 peserta telah hadir yang terdiri dari wanita JIM, rakan dan remaja setiap daerah di Pulau Pinang. Apa yang menarik ialah lebih 60 orang peserta qiyam kali ini adalah dari kalangan remaja dan IPT.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan ialah ceramah “Al-Quran dan Sains” oleh ustaz Syazalie, Bengkel dan pembentangan “Remaja dan Quran “ oleh Remaja dan pelajar IPT, tadarus dan qiyamullail.

Antara pelajar yang hadir adalah dari SMK Permatang Pasir, SMK Pauh Indah, KMPP, ACMS, IPPPP dan lain-lain. Hasil dari soal selidik lebih 90% memberi respon positif malah meminta program sebegini diteruskan lagi. Lebih 50 % daripada responden berminat untuk menyertai JIM. Alhamdulillah beberapa orang wanita dari Taman Pelangi kini telah mula mengikuti usrah.

Khamis, 11 Mac 2010

Pertemuan bekas ko-kaunselor

Saya sempat merakam pertemuan ibu_suri dengan Shaukiah Hanim sebaik sahaja selesai mendengar ceramah di Tapak Ekspo Seberang Jaya malam tadi. Pertemuan antara sahabat JIM yang sudah lama tidak bertanya khabar.

Kelihatan airmata ibu_suri menitis tatkala memeluk sahabat lama yang pernah sama-sama bertugas sebagai ko-kaunselor di UKnI satu ketika dulu. Lama perbualan mereka.


Saya menanti dan memerhati gelagat mereka dengan sabar.

Catatan: Abu Hanifah

Rabu, 24 Februari 2010

Kenyataan Media Ketua Wanita JIM

TEGURAN WARDINA KEPADA GOLONGAN MUDA DAN ARTIS HARUS DIAMBIL SERIUS

Pertubuhan Jamaah Islah (JIM) menyokong sepenuhnya saranan pelakon, pengacara dan personaliti TV Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot agar masyarakat khususnya golongan remaja hari ini tidak terlalu ghairah menjadikan artis dan selebriti sebagai ikon atau idola untuk dicontohi. Beliau dilaporkan mengemukakan saranan tersebut ketika menjadi salah seorang ahli panel yang mengupas tajuk ` Selebriti sebagai Ikon Masyarakat’ dalam program bual bicara anjuran Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Bharu minggu lepas. Menurut beliau juga, dunia artis serta hiburan lebih banyak dipenuhi dengan keburukan daripada kebaikan dan hanya bersandarkan keseronokan.

JIM menyedari bukanlah mudah bagi Wardina membuat pendedahan sebegitu, yang tentunya akan menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Wardina telah memilih untuk menyatakan kebenaran dan tidak berselindung di sebalik kepalsuan, sekaligus menunjukkan dia adalah seorang yang berfikiran matang dan mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi terhadap masyarakatnya. Sebagai seorang yang pernah dan masih terlibat terus dalam dunia penyiaran, hiburan dan perfileman, Wardina tentunya merujuk kepada pengalaman sendiri yang dilaluinya. Amatlah wajar sekiranya teguran Wardina diambil serius dan dijadikan iktibar untuk rakan artis yang lain.

Selaras dengan itu, JIM ingin membuat penegasan agar :

Masyarakat umum khususnya golongan remaja tidak terlampau ghairah memuja dan menyanjung golongan artis, terutamanya mereka yang secara terang-terangan menunjukkan akhlak, sikap dan tingkahlaku yang tidak sopan dan bertentangan dengan ajaran moral dan agama.

Golongan artis bersikap lebih bertanggungjawab mendidik diri masing-masing dengan ilmu pengetahuan, adab sopan, tatasusila dan tahap profesionalisme yang tinggi. Mereka juga harus sentiasa peka dengan sensitiviti masyarakat, dan bersedia menerima teguran dan membaiki kesilapan. Bagi tujuan ini disarankan golongan sarjana dan ilmuwan serta pihak berwajib didampingi agar artis menjadi contoh teladan yang baik kepada masyarakat.

Media massa tidak keterlaluan mendewa-dewakan golongan artis melalui lambakan program berbentuk hiburan dan realiti, ataupun sibuk membuat liputan mengenai kontroversi dan berita hangat yang berlegar di sekitar kehidupan artis.

JIM sedia membantu artis atau mana-mana pihak bagi menjalankan tanggungjawab sosial yang membina.

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
012-3243134