Jumaat, 18 September 2009

Perutusan YDP Sempena Menyambut Pemergian Ramadhan dan Ketibaan Aidil Fitri

YDP JIM SPT Cikgu Rusli Hashim dua dari kanan bersama YDP JIM PP Ir Hj Jamaluddin dan AJK JIM Negeri menyambut Hari Raya Dengan Baraan Syawal JIM Negeri Pulau Pinang.
Alhamdulillahi Rabbil Alaamin. Selawat dan salam atas junjungan Besar s.a.w., ahli keluarga dan sahabat-sahabat sekaliannya.

Ikhwah dan akhawat sekalian. Bersyukur kepada Ilahi atas limpah rahmatNya kita telah menikmati curahan berkat dan rahmat sepanjang sebulan Ramadhan. Sudah pasti ikhwah dan akhawat sekalian sedang istabiqul khairaat di 10 malam terakhir ini. Samada Lailatul Qadr telah datang atau tidak, yang penting kita terus menghambakan diri kita bukan sahaja di akhir-akhir Ramadhan, malahan hari-hari yang mendatang. Kerana kita bukan `Ibaadur Ramadhan tetapi `Ibaadur Rahmaan.

Mudah-mudahan tarbiah Ramadhan kali ini melonjakkan iman dan taqwa kita yang kita terjemahkan dengan; 1) amal-amal soleh di medan pemantauan MAFREL dan kempen PRK Permatang Pasir. 2) Kita imarahkan Ramadhan dan iktikaf di surau dan masjid setiap malam. 3) Meng'ihya'kan Ramadhan bersama keluarga di rumah, kurang menonton TV, banyak membaca Quran. 4) Insaf dengan keperitan orang Islam yang miskin melalui program sumbangan wang ringgit kepada masyarakat 5) Mengorbankan perbelanjaan raya untuk di infaqkan kepada sahabat-sahabat ahli jamaah kita yang ditimpa musibah 6) Menyerlahkan akhlaq murni dan dakwah di medan sosio-politik mutakhir ini bersama parti-parti politik dan NGO-NGO Islam Pulau Pinang.

Jangan dilupai ziarahilah ulama-ulama semoga keberkatannya boleh kita tumpang bersama.

Mudah-mudahan amal-amal ini melepasi malaikat yang menjaga langit ke tujuh iaitu hanya amal-amal yang ikhlas sahaja yang diterima oleh Allah taala. Sudah pasti kita menyesal kerana amal-amal ini dirasakan patut boleh buat lebih lagi dan berkualiti lagi.

Ikhawah dan akhawat yang dikasihi. Sudah tentu banyak perancangan dibuat sempena menyambut Hari Raya. Di akhir Ramadhan ini, saya berpesan kepada diri saya dan ikhwah akhawat supaya bangun malam pada malam 1 Syawal. Mohonlah agar Allah beri hidayah untuk kita besatu kembali, kekuatan 'izzah dan fizikal untuk terus istiqamah dalam perjuangan. Berterusan taqwa kita dan semakin rapat kita dengan al Quran.

Awasi anak-anak, jangan terlampau membudayakan perkara-perkara yang sia-sia.

Bagi ikhwah sekeluarga yang akan pulang ke kampung, berhati-hati di jalan raya. Kadang-kadang kita mengamalkan memandu berhemah (defensive driving) , tetapi kecuaian pengguna lain inilah yang mengancam kita. Pastikan kita bukan ancaman di jalanraya dan tidak menjadi statistik kemalangan jalanraya tahun ini.

Berpada-pada dengan budaya hedonisme semasa menyambut hari lebaran. Banyakkan kunjung mengunjungi, yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan. Ambil peluang tingkatkan PR dengan masyarakat. Sambil menikmati juadah hari raya berjaga-jagalah terutama yang ada rekod kesihatan yang tidak ceria. Jangan lupa kalau ada rumah terbuka jemput-jemputlah sahabatsahabat. Kalau tak banyak, jamuan sederhana pun sahabat-sahabat tak kisah.

Akhir sekali, sebagai YDP saya memohon ampun dan maaf atas kekasaran saya berbahasa, kelalaian dalam hal ehwal kebajikan sahabat, ketidakhadiran saya ke program dan ke'bisu'an saya dalam hal-hal yang remeh.

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Taqobballahu minna wa minkum. Taqobbal ya kareem.

Ikhlas dari : Ij Hj Jamaluddin Abdullah

Syawal 1430

Tiada ulasan: