Ahad, 19 Disember 2010

Teruskan Perjuangan - Presiden

CHERAS – ‘Meneruskan Perjuangan Mendaulatkan Syariah’ menjadi tema ucapan dasar Presiden, Haji Zaid Kamaruddin pada Perhimpunan Perwakilan Nasional (PPN) ke-20 pada tahun ini.

“Untuk memainkan peranan yang baik, kelompok Islam perlu mengukuhkan hubungan dan kerjasama sesama organisasi Islam. Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama (JKMPKPA) telah ditubuhkan oleh jemaah Menteri dan kita menyokong dan terlibat melalui Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN),” ujar Presiden.

Satu mukadimah menarik yang dimulakan Presiden ketika ucapan awalnya menyentuh mengenai ekonomi yang menjadi isu besar di seluruh negara dewasa ini. Seterusnya beliau menyentuh mengenai isu rasuah yang hebat berleluasa di mana-mana pun sekarang.

Katanya, bahaya rasuah memudaratkan demokrasi dan menyekat kemampuan kerajaan untuk berfungsi secara berkesan dalam menyediakan perkhidmatan yang kritikal untuk rakyat. Budaya beramanah perlu disuburkan, namun ia memerlukan usaha semua - kerajaan, ahli perniagaan, pengamal media, masyarakat madani (civil society) dan anggota masyarakat umumnya.

“Untuk memainkan peranan yang baik kelompok Islam perlu mengukuhkan hubungan dan kerjasama sesama organisasi Islam. Banyak yang baik boleh dicapai. Namun cabarannya besar. Kita menganggap hal ini sebagai menjawab seruan negara. Kini banyak petanda yang baik. Membina persefahaman sesama umat akan meneguhkan langkah kita dalam JKMPKPA. Ia juga mengelakkan mereka yang terlibat dalam JKMPKPA ini daripada tersisih atau ditentang oleh umat sendiri.

“Walaupun pegangan JIM jelas, memperjuangkan pelaksanaan syariah, JIM tetap bersama dan diterima oleh NGO lain dalam usaha sama memperjuangkan keadilan, hak asasi manusia, good governance dan kebaikan, untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih baik. JIM terlibat aktif dalam Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Bersih 2.0, MAFREL dan Viva Palestina Malaysia. Keanggotan kita melalui ACCIN dalam Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama (JKMPKPA) membuka luas perhubungan dan kerjasama dengan NGO-NGO agama lain.”

Status JIM menjadi perdebatan hangat justeru munculnya wadah baru, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang mana JIM merupakan salah satu NGO yang mendukungnya. Sama ada JIM akan dibubarkan atau hanya diterap ke dalam IKRAM, status akhirnya dibincangkan hari ini dan keputusannya akan diketahui malam ini. Keputusan ini penting dalam menentukan status institusi dan aset JIM.

Sebelum mengakhiri ucapan dasar ini, Presiden telah membentangkan keputusan Perhimpunan Perwakilan Nasional Khas Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang berhimpun pada hari Sabtu 24 Julai 2010 bersamaan 12 Syaaban 1431 di Dewan Besar Sekolah Menengah Teknik Gombak yang telah menunjukkan sokongan dan menjayakan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

Walau apa pun keputusannya, JIM dan Wanita JIM akan meneruskan aktiviti yang telah dirancang terutama yang melibatkan pihak luar, gabungan dan usaha sama dalam kalangan NGO, sehingga IKRAM mengambil alih peranan JIM sekarang dengan baik. Begitu juga halnya dengan institusi-institusi termasuk sekolah, tadika, MGI (Majlis Guru Islah), PERINTIS, Hidayah Centre, Raudhatus Sakinah, PACE (Palestinian Centre of Excellence), NICE (Nusantara Islah Centre of Excellence), KIMB, DERU, I-Bantu dan Karisma, sehingga proses perpindahan dapat dijayakan.

sumber: laman web JIM

1 ulasan:

Insan Marhaen berkata...

selamat berjuamh!