Isnin, 17 Ogos 2009

JO vs RA.


Adakah JO membayangkan JIM sebegini? ( Polis Wanita Iran cuma gambar hiasan)

Apa yang berlaku diantara YB Jeff Ooi (JO) dan Hj Razali Abdullah (RA) beberapa hari yang sudah merupakan suatu isu yang perlu ditangani dengan bijak. Perasaan dan cara fikir sudah tentu akan mempengaruhi tindakan kita. Ada yang akan mencabar dan ada yang akan tercabar. Mereka yang ingin menunjuk kejantanan pasti mahu melahirkan satu sikap tegas yang tiada kompromi. Mereka yang mahu bersabar dan menggunakan pendekatan tertolak-ansur akan dikatakan dayus dan penakut. Bagaimana pula mereka yang hanya tunggu dan lihat sahaja?

Mari kita analisa bersama. Pergeseran ini adalah berbentuk tiga penjuru. Penjuru pertama ialah di antara JO dan RA. Ianya melibatkan masalah peribadi, kerjaya dan amanah. Ianya juga merupakan pegeseran pentadbiran dan berlainan budaya kerja dan pendapat atau pegangan. Mungkin ada unsur-unsur sikap dan keperibadian. Ini biarlah mereka berdua selesaikan dengan bertolak-ansur di antara satu sama lain. Tidak perlu sangat campur tangan luar. Budaya kerja mana yang tidak betul atau budaya kerja siapa lebih baik. Siapa perlu dipecat atau memecat. Itu soal institusi atau badan mereka yang berkenaan.
JIM banyak menekankan aktiviti tarbiah. Diantaranya ialah program usrah mingguan atau diskusi kumpulan kecil. Saluran matlumat, motivasi, semak diri, peringatan dan kebajikan ahli dititik-beratkan.

Penjuru kedua ialah di antara JO dengan JIM. Apabila visi sesebuah pertubuhan yang berusia hampir dua puluh tahun dipertikaikan oleh seseorang individu maka individu ini perlu diperbetulkan atau diperjelaskan. Kemungkinan ini adalah salah satu kejahilan individu itu atau mungkin satu penentangan ideologi atau pegangan seseorang. Walau apa sebabnya sebagai satu wadah dakwah dan kebajikan JIM mesti sedar fenomena ini mengambarkan tahap kefahaman seorang individi yang boleh mewakili sekelompok manusia yang masih tidak cukup dalam memahami pernyataan Visi JIM. Tidak mustahil jika ada juga orang Islam itu sendiri yang tidak mahu atau tidak faham atau tidak yakin dengan pernyataan Visi JIM yang mahu menegakkan Syariat Islam menjelang 2020.

Di sini sudah jelas tugas JIM bukan lagi bersengketa dengan JO tetapi banyak kerja perlu dibuat untuk memperjelaskan "Apa itu Syariat Islam" dan bagaimana ma'aruf besar ini menjadi pegangan aqidah sebagai seorang muslim. Sebagaimana wajib orang Islam melaksanakan solat lima waktu begitulah wajibnya kita menegakan Syariah Islam di atas muka bumi ini. Pengetahuan bahawa orang yang belum Islam ini akan mendapat manfaat besar jika bernaung di bawah Syariat Islam ini. JIM harua banyakan forum dan seminar mengenai Syariat Islam dan perlaksanaannya. Jika JO tidak faham maka menjadi tugas kita memahamkan beliau begitu yang lain.

Memang masih kurang cukup program ceramah dan seminar yang JIM anjurkan. JIM harus melipat-gandakan program sebegini agar masyarakat lebih celik.

Penjuru ketiga adalah JO dengan umat Islam. Sebagai umat Islam yang prihatin dan memahami tuntutan Syariat Islam sudah pasti akan marah dengan kenyataan JO. Beliau menegaskan, penegakan Syariat Islam adalah suatu perkara yang bahaya. Maka amat wajar FORUM, satu gabungan NGO Islam membawa isu ini ke hadapan. Walau bagaimana pun apa sahaja tindakan FORUM seharusnya tindakan yang terbaik yang mewakili semua NGO Islam. Bukan dipengaruhi oleh sikap atau budaya NGO tertentu. Keutamaan umat didahulukan. Tindakan undang-undang yang diperuntukan kita guna pakai dengan sebijak-bijaknya. Jangan hanya mengikut latahan daripada golongan tertentu yang ingin menangguk di air keruh sahaja. Agar tidak ada yang sewenang-wenangnya mempersenda Penegakan Syariat Islam di muka bumi ini lagi.

Tiada ulasan: