Khamis, 16 Julai 2009

Peristiwa Urumqi Jejaskan Imej China

KENYATAAN MEDIA
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM)
Rabu 15 Julai 2009

Peristiwa Urumqi Jejaskan Imej China
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) amat sedih dengan kematian yang banyak di Urumqi dan beberapa pekan lain di Turkistan Timur (Xinjiang Uighur Autonomous Region). Hakikat kejadian pembunuhan di sebuah kilang di Shaogun, wilayah Guangdong, mencetuskan pertumpahan darah di Urumqi, menggaris bawahkan penderitaan yang dialami oleh Turkistan Timur yang telah lama dijajah.

Peristiwa ini adalah reaksi spontan satu kaum yang telah lama dinafikan kebebasan dan terus tertindas hingga tiada harapan jalan keluar. Polisi regim Komunis yang berterusan mengamalkan transmigrasi, assimilisasi dan “penchinaan” (transmigration, assimilation and “sinification”) tanah jajahannya menjadi punca utama keresahan di Turkistan Timur serta wilayah lain seperti Tibet. Identiti ugama dan budaya masyarakat Uighur mahu dihapuskan oleh regim Komunis China. Diskriminasi kaum juga berleluasa. Umat Islam dilarang mengerjakan solat Jumaat atau melaksanakan ibadah haji.

China yang menyediakan dirinya untuk menjadi kuasa besar dunia dari segi ekonomi dan politik seharusnya mempamerkan teladan kepemimpinan yang baik di dalam mempertahankan hak asasi manusia dan keadilan sejagat. Pendirian yang kerap ditunjukkan sebagai memihak kepada golongan yang tertindas di pentas dunia, hanya bermakna jika tidak menindas masyarakat minoriti di dalam negerinya. Dunia memerhatikan gelagat China dan peristiwa Urumqi merupakan satu lagi titik hitam kepada kewibawaannya.

JIM bersetuju dengan pendirian kerajaan Turki. Kami juga mengalu-alukan usaha kerajaan Turki mendesak Majlis Keselamatan PBB untuk membincangkan kekejaman yang berlaku di Urumqi. Kebisuan masyarakat antarabangsa memekakkan. Jaguh-jaguh keadilan dan hak asasi terhenti berkokok, rupanya tergamam di hadapan gergasi ekonomi ini.

JIM menyeru kerajaan China supaya:
1. Menangani punca sebenar di sebalik sejarah pergolakan yang berterusan oleh masyarakat Uighur, termasuk pencabulan hak asasi manusia secara sistematik dan berterusan terhadap mereka, penahanan sewenang-wenang dan pemenjaraan,

2. Memenuhi kewajipan antarabangsanya dengan menghentikan penahanan arbitrari dan penganiayaan terhadap orang tahanan,

3. Mematuhi segala piawaian antarabangsa mengenai keadilan dan pembuktian dalam penuduhan di mahkamah terhadap masyarakat minoriti Uighur,

4. Berhenti menggunakan kejadian terbaru ini sebagai satu alasan untuk terus menindas dan mendiskriminasi masyarakat Uighur dan

5. Menghormati dan memberikan sepenuhnya kebebasan beragama dan pengamalan budaya masyarakat Uighur dan masyarakat minoriti yang lain di China.

JIM menyeru kerajaan Malaysia menyatakan keprihatinannya terhadap peristiwa Urumqi serta nasib masyarakat minoriti yang tertindas di China..

Zaid Kamaruddin
Presiden JIM

Tiada ulasan: