Selasa, 31 Mac 2009

Sukaneka TAR 2009


Anak-anak, guru-guru, ahli dan rakan JIM SPT bersatu tenaga menjayakan Sukaneka TAR 2009.

Pada hari Sabtu 28 Mac 2009, alhamdulillah Rangkaian Tadika Amal Rintis (TAR) telah berjaya menganjurkan Sukaneka TAR 2009 bertempat di Sek Keb Sri Impian Taman Guar Perahu, seperti yang dijadualkan. Seawal 8.00 pagi, ruangan kantin sekolah telah padat dipenuhi oleh anak-anak, ibubapa, saudara-mara, sukarela dan guru-guru TAR.

Majlis dipengerusikan oleh saudara Khaizul dan dimulai dengan nyanyian Lagu Negaraku, Selamat Pulau Pinang dan Lagu Sukan TAR oleh anak-anak TAR daripada Taman Baru Seberang Jaya yang seramai 30 orang dan daripada Taman Guar Perahu seramai 72 orang.


Diantara hadiah yang disediakan. Ucapan terima kasih kepada Group HPA Musleh Wanita JIM SPT menyumbang produk-produk HPA.

YDP JIM SPT Rusli Hashim telah menyampaikan ucapan aluan dan diikuti dengan ucapan perasmian oleh wakil guru besar, Cikgu Mohd Suhaimi b Md Noor Penolong Kanan Kurikulum SK Sri Impian. Untuk maklumat tambahan TAR mempunyai seramai 9 orang guru terlatih mengawasi 7 kelas dengan murid seramai 102 orang.

Pasukan biru telah menjadi johan, diikuti pasukan kuning yang kedua dan merah ketiga.

Pelbagai acara telah berlangsung dari 10 acara anak-anak hinggalah ke 5 dewasa dan ibubapa. Sukaneka TAR kai ini berakhir jam 1.00 tengahari dengan penyampaian hadiah-hadiah untuk kesemua acara yang dipertandingkan oleh YDP JIM SPT Rusli Hashim.

Aksi menarik larian berhalangan.

Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan dan ahli JIM, para guru dan suami yang telah membantu dari mula hingga akhir Sukaneka TAR 2009 ini. Syabas TAR dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat. Terima kasih juga kepada pihak Sekolah Kebangsaan Sri Impian Taman Guar Perahu yang telah menyediakan segala kemudahan-kemudahan.

Semoga titik-peluh kalian mendapat ganjaran berganda dari Allah SWT.

Rabu, 25 Mac 2009

Salam dari Sarawak


Assalamualaikum.
Semoga kalian sihat-sihat belaka hendaknya.

Gambar di atas diambil di Taman Negara Similajau Bintulu, Sarawak. Kebetulan pada 16/03/2009~20/03/2009 kena buat kerja di Bintulu, maka inilah peluang meronda-ronda. Di Sarawak saya ditugaskan dengan bermacam-macam kerja dari inspection, siasatan dsbnya.

Di Taman Negara ini ada sebuah sungai yg bertemu ke laut. Pantainya boleh tahan dan ada chalet lagi. Jika hendak buat ‘camping’ cantik. Tapi yang bahaya tu, sungainya ada 'boya', siap diletakkan “sign board’, "AWAS ADA BUAYA".

Perjalanan dari Kuching ke Bintulu lebih kurang 10 jam dan jaraknya lebih 650km menggunakan kenderaan pejabat ‘Fortuner’. Di sepanjang perjalanan, kiri kanan akan nampak rumah panjang. Sekarang sudah moden, “Astro pun ada oooi”. Kebanyakan rumah panjang bukan macam dulu lagi, sudah ada yang bertukar menjadi rumah teres dua tingkat macam di Semenanjung juga.

Itu saja laporan dari Kuching Sarawak. InsyaAllah saya akan pulang bercuti pada 01/04/2009 hingga 8/04/2009 ini. Bulan Jun nanti baru saya bawa keluarga pindah.

Rahime-JKKP Sarawak

“Lepas ni nak kena belajar buat blog laa..Akhi YDP Rusli & Akhi Abu boleh bg kot tipsnya”.

Selasa, 24 Mac 2009

Sukan Tadika Amal Rintis

Tarikh: 28/3/09 (Sabtu)
Jam: 8. 00 pagi
Tempat: Pdg Sekolah Seri Impian Tmn Guar Perahu


Aturcara Majlis

7.45 pg Ketibaan ibubapa, anak tadika
Majlis Perasmian
Ucapan Aluan Pengerusi Majlis
Doa
Ucapan YDP JIM
Ucapan Perasmian


Aturcara Sukan TAR

Acara 1 hingga Acara 3 Tahap 1 (5 tahun)
1. Tarik bola dalam gelung
2. Perah air dalam botol
3. Baling bola dalam bakul

Acara 1 hingga Acara 3 Tahap 2 (6 tahun)
1. Tarik guni
2. Susun tin
3. Lari berhalangan

10.30 pg Rehat

Acara 4 & acara 5 Tahap 1 (5 tahun)

1. Lompat kangaru
2. Junjung pundi kacang

Acara 4 & acara 5 Tahap 2
1. Kasut panjang
2. Bawa straw atas bibir

Acara ibubapa

1. Ibu cari anak
2. Ibu baling air kepada bapa
3. Pecah belon (bapa tiup, anak lari, ibu pecah)
4. Timbang bola- acara bapa
5. Kasut terompah (ibu, bapa, anak)

Acara Kelas Iqra
Lumba lari

Acara Majlis Penutup Sukan TAR
Ucapan aluan Pengerusi Majlis
Penyampaian hadiah acara ibubapa
Cenderamata hakim
Penyampaian hadiah rumah- johan,naib johan, ketiga
Ucapan YDP JIM SPT
Bersurai

SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI BERSERTA KELUARGA DI JEMPUT HADIR BERSAMA!

Sabtu, 21 Mac 2009

SMART SOLAT

Pengarah Program SMART SOLAT Pn Azlina sedang menyampaikan hadiah.

Di dewan Masjid Taman Guar Perahu telah berhimpun 42 anak-anak dari sekitar taman mengisi ruangan cuti persekolahan dengan mengikuti program aulad anjuran Wanita JIM SPT.

Cikgu Rahidah sedang menerangkan tentang syarat dan rukun wudhuk

Pada 9.00 pagi Isnin 16 Mac 2009 bermula program dengan pendaftaran diikuti dengan taklimat daripada Pn Azlina bt Maidin sebagai pengarah.

YDP JIM SPT Cikgu Rusli Hashim turut membantu mengendalikan hal-hal teknikal. Hai Cikgu tak kerja ke hari itu?

SMART SOLAT ini bertujuan mendidik anak-anak ke arah penghayatan solat, memperbaiki kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan ketika berwudhuk dan solat. Para peserta juga diberi penekanan mengenai rukun-rukun dan bacaan di dalam solat.

Barisan urusetia dan guru-guru. "Terima Kasih cikgu".

Syabas diucapan kepada Pn Azlina, ajk dan tenaga kerja dari guru-guru Tadika Amal Rintis. Semoga segala usaha mendidik anak-anak ini menjadi amal bakti dan diganjari oleh Allah SWT. Dengar kata sambutannya amat menggalakan. Wanita JIM SPT bercadang akan menganjurkan lagi program ini pada cuti persekolahan yang akan datang insyaAllah.

Mengambil wudhuk secara amali memberi pendedahan sebenar kepada para peserta

Selasa, 3 Mac 2009

Bicara YDP



Alhamdulillah. Sudah lebih 6 bulan blog JIM SPT dilancarkan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pengunjung yang melayari blog ini. Segala penulisannya merupakan bahan yang tidak lain dan tidak bukan untuk menyampaikan mesej dakwah dan kebajikan.

Selain aktiviti JIM, blog ini juga memaparkan realiti apa yang sedang berlaku dari masa ke semasa dan tidak terhad dengan isu setempat tetapi merangkumi keseluruhannya. Medan maya ini amat cepat berubah dan sentiasa bergolak. Maka segala informasi kita harus juga berupaya menyaingi arus perubahan dan pergolakan ini. Sebagai wadah yang membawa imej Islam maka JIM SPT merasa amat bertanggung-jawab untuk bersama di dalam perlumbaan maya ini.

Semoga anda akan tetap bersama mengikuti dan melestari blog ini. Segala tunjuk-ajar dan komentar adalah amat dialu-alukan. Terima kasih di atas keprihatinan semua. Teruskan melayari blog kami ini.

Bersama Islam Membina Masyarakat.

Rusli Hashim
YDP JIM SPT

Ahad, 1 Mac 2009

PATT Ahad 1 Mac

Catatan: abu hanifah

Ada PATT pagi Ahad 7.30 pagi di Mengkuang Dam. Begitu sms yang aku terima semalam. PATT adalah program riadah mingguan untuk ahli JIM SPT khususnya dan sesiapa yang berminat, amnya. Biasanya kalau aktiviti di Mengkuang Dam ini berjogginglah. Habis jogging kami akan berkumpul di bawah pokok dan makan bersama sambil bertanya khabar dan berbincang tentang perkembangan semasa.

Orang 'lama' seperti aku ini kalau berjogging seeloknya berjogging secara santai. Berlari-lari anak sekadar untuk test drive jantung yang dah lama bekerja dalam mood selesa. Lagipun untuk mengelakkan lutut dan kaki dari tercedera. Lainlah kalau memang sportman.

Paling bagus membuat senaman ringan dahulu untuk meregangkan otot-otot yang semalaman berihat. Kalau berjogging pula seeloknya bernafas melalui hidung dan menghembuskannya melalui mulut. Hembusan nafas biarlah keluar dari dalam rongga dada.

Selalunya muka-muka yang datang berPATT ini muka yang regular. Kebanyakan di kalangan AJK JIM SPT dan dimeriahkan lagi bersama anak-pinak mereka. Sesekali baru ada sahabat lain yang join.

Program PATT memang gah di mata JIM daerah lain. Dari program PATT inilah lahirnya ilham mengujudkan ROV ( Rintis Outdoor Venture ).

Secara dasarnya pengisian PATT mudah sahaja;

1. Pengurus PATT - eg: Ahmad Baharudin menetapkan lokasi dan tarikh serta sms
2. Riadah - jogging atau gotong royong atau ziarah
3. Makan - pot luck style atau singgah dimana-mana kedai makan
4. Bersembang
5. Kehadiran tidak jatuh wajib tetapi di galakkan

Yang paling penting ialah istiqamah, saling bersangka baik dan faham memahami.

Ramai orang pulak di Mengkuang Dam pagi ini. Aku sempat melihat sekumpulan peminat foto mengambil gambar bunga kertas yang berwarna pink sedang kembang mekar di sepanjang jalan masuk.

Jam 9 aku bersiap balik setelah berihat menurunkan suhu badan yang panas dan berpeluh.

Singgah di Masjid Kg Mengkuang untuk solat Dhuha. Muga-muga Allah rahmati usaha kami ahli-ahli JIM dalam memartabatkan syariat Islam pada tahun 2020.