Ahad, 17 Oktober 2010

Kenangan FRAHIM

Dipaparkan semula foto kenangan program FRAHIM yang diadakan sekitar Dec 2007. Program santai keluarga JIM Seberang Perai Tengah dalam usaha mengukuh ukhuwwah sesama ahli.

Foto ihsan dari Harryzan Yaakob
Catatan oleh Rusli Hashim

Catatan 1 - 17 Dec 2007

-----------------------------

Alhamdulillah.

Semoga dirahmati dan dilindungi Allah SWT.

Harapannya dapatlah kita berkongsi pengalaman yang sedikit ini.

Air di sini sungguh sejuk rugi kalau dilepaskan. Aku teringat rakan-rakan RINTIS kalau pergi ke mana-mana tentu tidak akan melepaskan peluang untuk mandi. Samada di sungai atau di tepi laut. Ini mungkin prinsip yang telah dibudayakan. Kalau tak mandi nanti tentu kena ceramah daripada rakan-rakan lain. Hj Atan diantara yang sering tidak akan diam saja. Tapi kali ini beliau tewas kerana serombongnya tidak mengizinkan.

DD pernah menyampaikan dalam ceramah-ceramahnya, Konsep, "Sambil menyelam, minum air dan tangkap ikan". Falsafah ini telah menjadi amalan kita ahli JIM. Buat satu kerja tetapi manfaatnya berbagai. Sambil menikmati sentuhan belaian alam, sambil menyantuni sahabat dan ahli keluarga. Satu lagi, aku mendapat petua bahawa adalah baik untuk kesihatan jika kita mandi air daripada air terjun yang airnya melalui akar-akar dan daun-daun kayu. Petua ini aku dapat daripada seorang tua India Muslim di WaterFall (Kebun Bunga) di Pulau Pinang. Masa itu bawa anak-anak berehlah semasa mereka kecil-kecil dulu. Terkenang abah dan emak dahulu pun sering membawa aku lima beradik ke tempat yang sama ini pada hujung tahun-tahun enam puluhan dan awal tujuh puluhan dahulu. Ceritanya panjang mungkin kemuadian boleh dituliskan.

Tiba-tiba hujan turun, aku menyuruh semua segera naik. Bukan apa kami dah lama mandi dan patut mula siap untuk beredar. Sudahlah ramai tentulah lambat untuk beredar. Ini perlu kemahiran, teringat aku ketika mengajar silat di SMK Teluk Kumbar. Selalu pada waktu pagi semasa hendak memulakan kelas silat aku. Budak-budak ini mengambil masa yang panjang untuk tukar pakaian atau uniform. Mulut lebih aktif dari kaki tangan. Kadang-kadang sehingga 20 minit. Apa lagi kena denda pusing padang selepas itu. Aku cabar mereka yang aku boleh tukar pakaian dalam masa 2 saat sahaja.


Catatan 2 - 19 Dec 2007

Saat-saat Berharga

Aku cabar mereka yang aku boleh tukar pakaian dalam masa 2 saat sahaja. Nak tahu bagaimana kena masuk silat Gayong dulu. Kekadang hairan kenapa ramai yang kurang berminat malah ada yang langsung tidak berminat dengan silat ini. Sekurang-kurangnya boleh bersenam, sekurang-kurang dapat berkawan & sekurang-kurangnya dapat beraktiviti yang bermanfaat. Program ke Bukit Fraser pun merupakan salah satu aktiviti yang bermanfaat dan menepati konsep "Sambil menyelam minum air tangkap ikan" Walaupun pada mulanya saya agak tidak bersetuju kerana ianya melibatkan masa hari bekerja (2 hari cuti), perjalanan yang jauh dan aku selalu ada kelas-kelas silat aku berbentuk mingguan terpaksa dicari pengganti atau ditangguhkan. Tapi aku juga YPD yang perlu sangat meraikan warga Jebat yang lain. Tapi jauh di dalam lubuk hati ini telah terbayang saat-saat berharga di samping keluarga dan sahabat-sahabat rapat dalam perjuangan ini.

Perjalanan yang panjang tetapi tidak menjemukan. Sentiasa ada agenda yang dimanfaatkan. Enam persinggahan dalam jangakamasa lebih kurang enam jam ke puncak bangalow dengan hembusan desiran angin yang sungguh nyaman sekali. Betul kata Yazid macam Selem High Country. Zulkar9 mengatur perjalanan dengan baik, teliti dan berhemah. Sesekali membuat perubahan diatas perbincangan ringkas. Memang aku bersedia mengikut dan mematuhi arahannya. Kadang-kadang terfikir alangkah baik kalau beliau meneruskan menjadi YDP JIM SPT ini. Aku sunggup menjadi TYDPnya. Macam Misi Mengapai Awan di Puncak Tahan. Aku menjadi orang kedua dalam Squadrom Rajawali dan Zulkar9 ketuanya.

Sampai di bangalow selepas balik dari Air Terjun Jeriau ramai keletihan. Aku bawa 5 bungkus mee segera cadang nak buat magee 4 tayar tetapi anak-anak Jebat ini nampak berselera dengan mee segera ini termasuk tuan pengarah, habis isteri ku masakan untuk mereka. Maka selamatlah mee-mee segera ini.

Sebelah petang Zul mengajak aku main ping-pong tetapi aku menolak kerana segan tak pandai main.Tapi bila diajak beberapa kali aku pun menyahut cabaran Fraser ini. Zul partner dengan anakandanya Muaz dan aku dengan Ust Rozee. Bergu sama mantap tetapi aku mempunyai kelebihan kerana skill aku dalam silat. Dengan beberapa pekikan-pekikan mereka tidak mampu menerima tekanan dan asakan dari aku dan Ustaz Rozee. Muaz cuba mengimbangi markah kemenangan dengan membuat smash tajam dan kuat. Bola ping-pong menjuman tajam tapi tersasar. Bahaya sungguh bat ping-pong pun terlepas dari tangan lantaran terlalu laju smash terbang tanpa kawalan dan terus terkena .... aduuuuh.


Catatan 3 -24 Dec 2007

Tanggung-jawab dan contoh terbaik.

Subuh Jumaat 7 Disember 2007 aku tidur alhamdulillah cukup lena sekali sehingga alarm handphone tidak berapa sedar berbunyi. Laungan azan Ust Rozee yang pasti telah mengerakan aku untuk terus bangun. Perlu solat Subuh berjemaah minda ku berbisik. Aku kena jaga status aku sebagai YDP. Langsung tiada rasa RIAK, aku ceritakan di sini, yang aku tahu aku harus tunjuk contoh yang terbaik kepada warga Jebatku ini. Walaupun ada seorang dua yang bersolat di bilik masing-masing. Tidak mengapa mereka ada alasan yang baik. Cerita pecah pintu bilik air sudah ke ceritakan di episod yang lalu. Rujuklah bagi yang terlepas.

Alhamdulillah tarbiah kita dalam JIM telah kita budayakan agar semua aktiviti-aktiviti samada dalaman atau luaran solat menjadi agenda terpenting. Aku praktikan dalam agenda silat ku juga. Kita yang diberikan kepercayaan mengatur program maka ambillah kesempatan itu dengan mengisi acara-acara solat berjemaah, kuliah, tazkirah dan seumpamanya. Pernah di Konvensyen Guru-guru Silat SeMalaysia di Port Dickson selama dua hari. Dalam muzakarahnya aku bangkitkan kenapa tidak dijadikan aturcara konvensyen pada ketika itu solat berjemaah. Isu-isu perpaduan disuarakan tetapi mana landasannya. Perpaduan diatas dasar bangsa melayu tidak boleh bertahan lama. Padahal solat berjemaah merupakan perkara asas kekuatan Islam.

Solat Jumaat di Bukit Fraser.

Cukup masa kami berangkat ke masjid berdekatan, mungkin satu-satunya masjid yang ada di sini. Naik Naza Zul semua ikhwah pergi tiada yang uzur. Sampai di masjid tidak ramai jamaah. Masing-masing pakai baju tebal dan baju sejuk. Jarang berjumpa suasana sebegini di masjid lain yang biasa aku pergi. Rasa macam di negara Mat Saleh pada musim sejuk. Tapi tidak apa sejuk pun sejuklah. Aku pun pernah melalui suasana sejuk sebegini semasa bermain salji di Jepun beberapa kali semasa majikan tempat kerja aku menghantar belajar teknologi mereka di sana. Imam dan anggota jemaah di Masjid Bukit Fraser ini kebanyakannya muda-muda belaka. Kami berseloro sesama kami. "Tok Imam nie mungkin baru kena transfer ke sini mungkin kerana pro sebelah pihak lain".

Tidak mahu teruskan cerita.

Petang itu kami berkemas dan pulang ke SPT. Mungkin 10 tahun lagi kami akan ke sini sapa aku kepada penjaga bangalow di puncak Fraser ini yang rasa aku seorang warga Indonesia. Banyak lagi yang hendak diselitkan tetapi rasa mungkin di lain kalilah kalau ada peluang dan izin Allah SWT. Rasa-rasa cukuplah sekadar di sini. Kalau banyak tulis mungkin ramai yang bosan. Tapi sememang adat kalau bermula kena ada penamat. Cuma aku hairan guru silat aku kata silat gayong tiada penamat. Penamatnya cuma bila kita mati. Betulkah begitu? Penamatnya dapat Bengkong Putih di kepala, pinggang dan kaki.

Tiada ulasan: