Sabtu, 12 Disember 2009

Mengejar Zamzam Kehidupan

Bagi setiap penderitaan ada rahsia dan hikmatnya. Ketika saya menyampaikan motivasi di Radio Malaysia Pulau Pinang, ketika tiba musim haji, saya akan ingatkan umat Islam tentang satu kisah yang melambangkan kecekalan yang unggul. Kisahnya berkaitan dengan seorang srikandi umat yang bernama Siti Hajar.

Oleh kerana nabi Ibrahim terpaksa melaksanakan perintah Allah, Siti Hajar dan anaknya Ismail ditinggalkan di satu kawasan yang kering kontang yang dikenali pada hari ini dengan nama Mekah. Bayangkan cabaran yang terpaksa dihadapi beliau ketika itu. Namun Siti Hajar tidak mengeluh dan menyalahkan nasib serta takdir. Beliau bangun dan berlari-lari antara Safa dan Marwah untuk mendapatkan makanan dan pertolongan namun usaha itu tidak mendatangkan sebarang hasil. Akhirnya datanglah pertolongan daripada Allah.

Dari celah bumi yang kering kontang itu terbitlah air yang mengalir hinggalah ke hari ini. Air itu ialah air zamzam. Ia mengalir dengan penuh keberkatan sehingga kawasan yang tandus tanpa penghuni itu bertukar menjadi satu kawasan yang subur yang menjadi tumpuan manusia. Semua ini terhasil berkat kesabaran dan kecekalan Siti Hajar. Dan begitulah sikap orang-orang yang berjaya. Mereka bangun untuk berusaha. Ketika diuji mereka tidak suka mengeluh dan menyalahkan orang lain. Mereka yakin dengan bantuan Allah dan mereka sedar bantuan itu akan datang selepas mereka berusaha dengan penuh kesabaran. Jika mereka tidak berjaya di Safa, mereka akan mencuba pula di Marwah sehingga Allah menganugerahkan pertolongan dan kejayaan dari sisiNya. Memang benar, sikap positif Siti Hajar ini perlu kita contohi jika kita ingin mencapai zamzam kejayaan seperti beliau.

Pada hari ini apabila umat Islam melakukan sai dari Safa ke Marwah di musim haji, mereka sebenarnya sedang diingatkan tentang pengorbanan dan kecekalan Siti Hajar ini. Berhubung dengan ini, Ibn Kathir meriwayatkan pandangan sahabat Abdullah ibn Abbas yang berkata, "(Amalan sai dari Safa ke Marwah) pada asalnya dikaitkan dengan kejadian yang berlaku ke atas Siti Hajar. Ketika mencari air untuk anaknya, beliau telah berlari berulang alik dari Safa ke Marwah dengan hati yang tunduk, khusyuk serta mengharapkan rahmat Ilahi. Akhirnya Allah menganugerahkan air zamzam sebagai makanan dan minuman malah sebagai ubatan kepada beliau."


(sumber dari - http://mindasuper.com)

1 ulasan:

hentian berkata...

Muga satu hari nanti aku dapat merasai sendiri indahnya berlari antar Sofa dan Marwah...