Jumaat, 30 Januari 2009

Kenyataan Media JIM - KEMATIAN KUGAN

oleh: abu hanifah

Berikutan dengan insiden kematian secara misteri A. Kugan yang heboh diperkatakan mutakhir ini, Jamaah Islah Malaysia telah mengeluarkan Kenyataan Media untuk menyatakan pendirian JIM terhadap isu ini.


KENYATAAN MEDIA

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia

29 Januari 2009

Kes Kematian A. Kugan Dalam Tahanan Polis Mesti Disiasat Tanpa Selindung

Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) melahirkan rasa kesal dengan insiden seorang suspek bernama A. Kugan yang telah meninggal dunia semasa berada dalam tahanan polis pada 20 Januari 2009. Peguam Negara telah mengklasifikasikann ya sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan mungkin setelah mengambilkira kesan luka yang serius kepada badan mayat A Kugan yang didedahkan oleh keluarga mangsa.

JIM memandang serius insiden tersebut kerana ini bukanlah kali pertama tahanan yang ditahan dalam lokap polis di dapati mati ketika dalam tahanan. Sekiranya benar apa yang didakwa iaitu pihak polis sendiri telah bertindak menyeksa tahanan sehingga menyebabkan kematian tahanan, maka JIM melihat ini sebagai satu pelanggaran besar terhadap kepercayaan rakyat kepada institusi keselamatan negara, Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Ia juga merupakan satu tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun terhadap individu yang disyaki sebagai penjenayah.

JIM menyanjung tinggi usaha dan peranan pihak polis dalam membanteras jenayah namun pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang mestilah berpandukan kepada prinsip kedaulatan undang-undang atau rule of law dan keadilan. Selain daripada itu, pihak polis mestilah akur dengan prinsip hak asasi manusia sejagat mahupun apa yang digariskan dalam prinsip hak asasi manusia dalam Islam yang mengiktiraf bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah (innocent until proven guilty).

JIM mengetahui bahawa kes seksaan secara fizikal dan mental serta kes kematian ketika dalam jagaan polis telah banyak dilaporkan sebelum ini samada ketika direman atau ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Namun kes-kes tersebut samada tiada tindakan lanjutan, siasatan masih berterusan atau masih dalam sesi perbicaraan mahkamah. Dewan Rakyat pada tahun 2008 telah dimaklumkan seramai 1,535 orang mati semasa dalam tahanan polis dalam tempoh antara 2003 hingga 2007. Pada masa yang sama, dua Suruhanjaya Diraja berhubung perkara ini telah ditubuhkan sebelum ini dengan pelbagai saranan namun keberkesanan saranannya masih dipersoalkan ramai khususnya berkenaan dengan kegagalan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (Independent Polis Complaints and Misconduct Commission – IPCMC).

JIM menegaskan bahawa dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, insiden seperti ini tidak seharusnya berlaku ke atas mana-mana individu, bangsa atau agama sekalipun. Oleh yang demikian, JIM tidak melihat ini sebagai isu perkauman dan menyarankan semua pihak untuk berpendirian sama kerana prinsip keadilan merentasi sempadan bangsa, kaum dan agama.

Sehubungan itu, JIM sebagai sebuah badan bukan kerajaan Islam yang amat prihatin dalam isu keadilan dan urustadbir yang baik menyarankan kepada Kerajaan untuk:-

1. Mengambil langkah serius mengarahkan dan memastikan siasatan yang menyeluruh, adil dan telus dilakukan berikutan kematian A. Kugan dalam tahanan polis dengan kadar segera tanpa melindungi atau menyembunyikan mana-mana fakta dan pihak, demi menegakkan keadilan. Adalah sewajarnya siasatan tersebut dilakukan oleh sebuah Suruhanjaya Bebas DiRaja yang ditubuhkan oleh Kerajaan.

2. Menyemak dan meneliti saranan yang telah dibuat oleh dua Suruhanjaya Diraja sebelum ini serta melaksanakan saranan-saranan mereka.

JIM bersimpati dengan keluarga A Kugan dan seterusnya menyeru semua pihak untuk bertenang dan bertindak mengikut lunas undang-undang. Keadilan bukan sahaja terlaksana tetapi mesti dilihat dilaksanakan.


Hj Zaid Kamaruddin
Presiden

Tiada ulasan: